PRU15: Wadah baharu Pejuang kembalikan hormat, minat rakyat

in Politik by

Program bertajuk ‘Cabaran Pemimpin Pengundi Ramai’ yang dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar menampilkan Hairy dan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman.

SHAH ALAM – Wadah baharu politik yang ditawarkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mampu menambah rasa hormat dan minat masyarakat terhadap politik di negara ini.

Calon Pejuang Parlimen Johor Bahru, Hairy Mahmood mengakui menerusi kempen-kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijalankan, rakyat memberi respon muak dengan politik semasa.

Justeru menurutnya, satu landskap politik baharu boleh diwujudkan sekiranya calon-calon Pejuang termasuk calon di bawah gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) diberi mandat untuk memerintah.

“Sebab itu kita tawarkan dalam pertandingan kali ini, calon-calon Pejuang bukan semuanya berlatarbelakangkan politik. Ada daripada ketua-ketua NGO atau individu yang berpuluh tahun menjalankan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat dengan sukarela dan individu-individu profesional yang berjaya.

“Mereka ini yang kita nak duduk dalam sebuah gabungan dan jika GTA diberi mandat oleh rakyat untuk tadbir negara maka landskap politiknya akan berubah

“Apa yang kita lihat pandangan masyarakat terhadap politik adalah buruk kerana disebabkan keadaan cacar marba politik semasa,” katanya menerusi Program Sinar Live disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Ahad.

Program bertajuk ‘Cabaran Pemimpin Pengundi Ramai’ yang dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar itu turut menampilkan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman.

Parlimen Johor Bahru yang mempunyai lebih 136,000 pengundi berdaftar bagi PRU15 menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu Johan Ariffin Mohd Ropi (BN) Mohd Mohtaj Bin Yacob (Perikatan Nasional), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Pakatan Harapan) dan Hairy.

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi oleh calon PH, Akmal dengan majoriti 19,782 undi.

Mengulas mengenai cabaran untuk memenangi kerusi berkenaan, Hairy berkata, nama besar penyandang kerusi berkenaan tidak menjadikan calon lain terkebelakang.

“Johor Bahru pernah ditadbir urus oleh dua parti sebelum ini, BN dan PH. Sudah pastinya masyarakat sudah merasai dan menilai apakah sumbangan atau perkhidmatan yang diberikan oleh mantan-mantan ahli Parlimen ini.

“Saya akan mengadakan banyak sesi-sesi dialog bersama masyarakat. Jadi di situ saya akan nampak apakah perkhidmatan atau pengalaman masyarakat ditadbir urus dua parti sebelum ini adakah mencapai kepuasan hati mereka,” katanya.