PRU15: Wartawan kumpulan profesional perlu dihormati

in Politik by

Annuar menyantuni penyokong The Red Warriors (TRW) pada Majlis Sambutan Ulangtahun 10 Tahun TRW Treble 2012 di Restoran Resepi Ikan Bakar hari ini. – Foto Bernama

KOTA BHARU – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) meminta semua pihak menghormati tugas wartawan ketika memberi liputan termasuk sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, wartawan atau pengamal media adalah kelompok profesional yang mempunyai etika penugasan tersendiri.

“Apabila media turun padang, mereka perlu berjumpa dan menemu ramah orang di majlis yang mungkin ada ‘menolak’ mereka.

“Kita perlu lebih terbuka dan faham peranan media. Jangan perlakukan media dengan baling botol atau ugut, itu sangat tidak baik,” katanya ketika ditemui semasa Sambutan 10 Tahun The Red Warriors (TRW) Treble di Jalan Long Yunus di sini pada Ahad.

Beliau memberi reaksi itu susulan insiden seorang wartawan dihalau, dikejar dan dibaling dengan botol arak ketika membuat liputan kempen calon BN Parlimen Rasah, Ng Kian Nam di sebuah restoran di Seremban Jaya, Seremban pada Jumaat.

Annuar berkata, pengamal media bertugas membuat pemberitaan bukan hanya untuk individu yang berminat untuk mendapatkan publisiti tetapi kepada semua yang ingin mendapatkan maklumat.

“Kalau kita tidak gembira, ada salurannya tetapi jangan mengganggu tugas apatah lagi mengancam keselamatan hingga menyalahi undang-undang,” katanya.

Menurut beliau, serangan sedemikian terhadap wartawan tidak harus berulang.