Umat Islam diingatkan tidak terpengaruh ajaran sesat

in Nasional by

Ahmad Marzuk

KOTA BHARU – Kerajaan akan terus memerangi kumpulan ajaran sesat di negara ini kerana ia boleh menjejaskan akidah umat Islam sekiranya tidak dibanteras.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, umat Islam juga dinasihatkan agar berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah agar tidak mudah terpengaruh dengan kumpulan tersebut.

“Sebab itu menjadi keutamaan pihak kami untuk menangani isu ajaran sesat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Sebenarnya kumpulan ajaran sesat seperti ini bukan perkara baharu dan telah lama wujud. Ia juga dapat memberi kesan sampingan terhadap perkara-perkara lain dan mengancam keselamatan negara.

“Kita perlu berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah menjadi pegangan umat islam di negara ini dan jangan ada unsur-unsur lain yang dibawa masuk ke dalam negara sehingga boleh mempengaruhi lebih ramai umat islam terlibat dengan kumpulan ajaran sesat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi didakwa dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Jun lalu.

Semua 63 jemaah itu selesai dibawa pulang ke tanah air dengan kumpulan terakhir membabitkan baki 23 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Ketua kumpulan tarekat terbabit dilaporkan diusir keluar oleh kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu kerana didakwa melanggar undang-undang tempatan dan gerakan itu dipercayai kononnya merancang untuk menunggu kemunculan Imam Mahdi di Arafah pada hari wukuf lalu, namun hampa apabila mereka langsung tidak dibawa ke Mekah.