Debat Polisi calon Parlimen Muar dibatalkan

in Politik by

Mohd Helmy, Syed Saddiq, Abdullah

MUAR – Program Debat Polisi antara tiga calon yang bertanding di kerusi Parlimen Muar yang dijadualkan berlangsung malam ini, dibatalkan selepas menilai aspek keselamatan dan kesejahteraan awam serta atas saranan pihak berwajib.

Pengarah Jelajah Demokrasi, Ashraff Fahmy pada masa sama berkata, setakat petang tadi, pihaknya selaku penganjur majlis hanya mendapat persetujuan daripada calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk hadir.

Bagaimanapun beliau berkata, calon Perikatan Nasional (PN), Abdullah Husin telah memaklumkan ketidakhadiran beliau, manakala calon BN, Mohd Helmy Abd Latif tidak memberikan sebarang jawapan.

Ashraff berkata, Sekretariat Jelajah Demokrasi telah menghantar surat jemputan kepada tiga calon berkenaan semalam, untuk hadir ke program yang akan diadakan di Hotel Classic di sini jam 8.30 malam ini.

“Pihak kami sentiasa komited untuk melaksanakan program-program agar dapat meningkatkan literasi politik dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga memupuk semangat demokrasi yang sihat,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Parlimen Muar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Parlimen Muar Syed Saddiq; calon BN, Mohd Helmy dan calon PN, Abdullah Husin.

Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Abdul Aziz Talib (Pas) dengan majoriti 6,953 undi. – Bernama