Garnacho pacu kemenangan Manchester United di Craven Cottage

in Sukan by

Garnacho

GOL masa kecederaan separuh masa kedua Alejandro Garnacho membolehkan Manchester United membawa pulang tiga mata apabila menjinakkan Fulham, 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Craven Cottage, pada Isnin.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Erik Ten Hag berada di kelompok kelima liga dengan mengumpul 26 mata, 11 mata di belakang pendahulu Arsenal selepas masing-masing mengharungi 14 perlawanan liga, yang berhenti rehat sementara bagi memberi laluan kepada penganjuran Piala Dunia 2022 di Qatar bulan ini.

Pada perlawanan itu, The Red Devils bermula garang apabila mendahului The Cottagers pimpinan Marco Silva hasil rembatan padu dijelmakan oleh bekas pemain Brentford, Christian Eriksen pada minit ke-14′.

Biarpun anak buah Ten Hag mendahului, namun pelawat gagal menguasai rentak perlawanan apabila bertandang ke laman tuan rumah tanpa beberapa tonggak berikutan demam dan kecederaan, bergantung harap kepada serangan pantas.

Kelab London yang tidak mengalah itu akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan bekas pemain Manchester United, Daniel James yang dipinjamkan dari Leeds United pada minit ke-61.

Biarpun Fulham tampil lebih kemas pada babak kedua dan menguasai sebahagian besar permainan, nasib ternyata berpihak pelawat apabila Garnacho yang masuk menggantikan Anthony Martial pada minit ke-72′ berjaya menewaskan Bernd Leno di minit ke-93′.

Kunjungan The Red Devils ke London kali ini akhirnya diterjemahkan dalam keputusan positif selepas pelawat kehilangan beberapa tonggak seperti Cristiano Ronaldo, Antony, Jadon Sancho dan Raphael Varane.

“Saya gembira akhirnya berada dalam senarai penjaring pada perlawanan terakhir sebelum Piala Dunia. Ia adalah minggu yang baik,” kata Eriksen mengenai gol pertama di Liga Perdana Inggeris sejak menyertai United.

Sementara itu, pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes memuji karakter ditampilkan Garnacho pada perlawanan tersebut.

“Bakat dan tugasannya memberikan perbezaan besar kepada kami setiap kali diturunkan. Ini bukan kali pertama dia memberi impak besar kepada kami,” katanya.

KEPUTUSAN

Fulham 1-2 Manchester United

Brighton 1-2 Aston Villa.