GSPARX, Felda bekerjasama kurangkan karbon dioksida

in Bisnes by

Ketua Pegawai Pelanggan (Kerajaan dan Perniagaan Besar) Bahagian Retail TNB, Nasaruddin Mohd Zaini (dua dari kiri) diikuti Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Pengarah Urusan, GSPARX Sdn.Bhd, Elmi Fairul Mashuri masing-masing menunjukkan dokumen yang ditandatangani mereka.

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi memasang sistem solar fotovoltaik yang mampu mengurangkan 1,321 tan metrik karbon dioksida setahun.

Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A Rahman berkata, sistem solar fotovoltaik akan dipasang pada 14 bumbung premis kepunyaan Felda di Semenanjung Malaysia dengan kapasiti berjumlah 1.6 MWp.

Menurutnya, inisiatif melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) itu dapat mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan kesejahteraan sejagat sejajar komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Perjanjian ini juga merangkumi solusi tenaga pintar lain seperti Tarif Elektrik Hijau (GET) apabila kuota tersedia, seterusnya aspek kecekapan tenaga dan sistem pemantauan tenaga (EMS) dalam mengurangkan pelepasan karbon,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Kamal berkata, pemasangan panel solar fotovoltaik itu merangkumi pelbagai bangunan termasuk Menara Felda, Institut Semarak Felda serta pejabat-pejabat wilayah di Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan dijadualkan siap pada bulan Mei 2023 dan inisiatif beralih kepada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) ini membolehkan Felda menikmati

anggaran penjimatan bil elektrik sebanyak RM10.74 juta untuk tempoh 20 tahun perjanjian.

“Ia adalah sejajar aspirasi nasional menuju negara neutral karbon menjelang 2050 apabila inisiatif tersebut mampu mengurangkan 1,321 tan metrik karbon dioksida setiap tahun bersamaan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 24,232 pokok dalam tempoh 10 tahun,” ujarnya.

Perjanjian tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Pelanggan (Kerajaan dan Perniagaan Besar) Bahagian Retail TNB, Nasaruddin Mohd Zaini; Pengarah Urusan, GSPARX Sdn Bhd, Elmi Fairul Mashuri dan Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar.