Guru hasil inovasi Kit Binujar bantu masalah penulisan murid

in Nasional by

Muhammad Shahrol dan Siti Farah menunjukkan tulisan murid sebelum dan selepas menggunakan Kit Binujar.VR Binujar memberikan pengalaman berbeza dan interaktif kepada murid. Lembaran Binujar yang diimplementasi kepada murid lemah menulis.

PUTRAJAYA – Sekumpulan guru muda yang mengenal pasti masalah penulisan dihadapi muridnya telah mengambil tindakan secara proaktif dengan menghasilkan inovasi yang dinamakan sebagai kit Bijak Menulis Abjad Berekor (Binujar) bagi membantu mengatasi isu tersebut.

Guru Bahasa Melayu, Muhammad Shahrol Harun berkata, lembaran Binujar yang mempunyai tiga garisan berwarna hijau, kuning dan merah berupaya memainkan peranan membantu murid menulis abjad dengan betul.

“Saya dapati terdapat murid darjah tiga masih tidak mampu menulis dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat lalu.

Menurutnya, perkara tersebut dikesan selepas murid-murid tersebut kembali ke sekolah secara fizikal selepas dua tahun belajar dalam talian akibat pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Beliau berkata, penggunaan tiga warna pada lembaran Binujar tersebut sangat membantu murid-murid untuk menulis dengan betul terutamanya huruf-huruf berekor seperti G, Y dan sebagainya.

Muhammad Shahrol, 24, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) berkata, Kit Binujar turut mengandungi VR Binujar yang menggunakan aplikasi CoSpaces Edu.

Katanya, melalui paparan 360 darjah, VR Binujar mampu memberi pengalaman berbeza kepada murid.

**media[1981692]**

“Dengan perkembangan pada masa kini, mahu atau tidak kita perlu selitkan teknologi dalam pembelajaran agar ia menjadi lebih menyeronokkan,” katanya.

Selain itu, ujar Muhammaf Shahrol, pemegang pensil khas yang dikenali sebagai Tripod Binujar turut dihasilkan bagi membantu murid memegang pensel dengan betul.

“Tripod Binujar juga mempunyai warna dan corak pada permukaan agar murid dapat meletakkan jari pada posisi sesuai untuk menulis,” katanya.

Beliau berkata, penghasilan Kit Binujar dijalankan secara berkumpulan dengan dua lagi rakan guru iaitu Ketua Panitia Bahasa Melayu, Farahwahida Anuar dan guru Bahasa Melayu, Siti Farah Marzuki.

Siti Farah, 26, berkata, dengan menggunakan Kit Binujar, murid mampu mengubah tulisan mereka menjadi kemas dalam tempoh hanya dua minggu.

Sehubungan itu, guru berkenaan turut bercadang untuk mengkomersialkan Kit Binujar ke pasaran tempatan.

“Sebagai permulaan, kami telah pun berbincang dengan pihak pentadbiran sekolah untuk menggunakan Kit Binujar ini pada sesi persekolahan akan datang,” katanya.

Ujar beliau, pihaknya telah membuat permohonan pendaftaran harta intelek terhadap produk tersebut.

“Kit Binujar ini juga telah memenangi Anugerah Emas pada Persidangan Pendidikan dan Inovasi Antarabangsa Sultan Abdul Halim 2022 (SAH iConfEd’22), baru-baru ini selain dianugerahkan naib johan dalam pertandingan yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya.