'Harap isu lokal, nasional ubah pemikiran pengundi'

in Politik by

Mutalib ketika program Sinar Live bertajuk ‘Tanpa Pengalaman, Mampukah Menjadi YB?’ dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar. – FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM – Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi Parlimen Masjid Tanah, Mutalib Uthman berharap gabungan isu lokal dan nasional boleh mengubah pemikiran dan undi di kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, di Masjid Tanah pihaknya banyak menumpukan kepada isu-isu lokal seperti kemudahan internet, peluang pekerjaan dan banjir yang sebelum ini parti pemerintah tidak pernah menyelesaikannya.

“Kita turun ke lapangan dan dapat tiga benda ini. Internet, pekerjaan dan banjir. Selesaikan itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar yang bertajuk ‘Tanpa Pengalaman, Mampukah Jadi YB?’ disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.

Mutalib dalam masa sama turut memaklumkan bahawa pihaknya melakukan pelabelan seperti kelabu dan putih dalam berkempen di sesuatu kawasan di Masjid Tanah.

“Melaka baru pilihan raya (pada) 2021. Jadi label-label itu kita buat berdasarkan peratusan keluar mengundi, umur keluar mengundi, tempat mana yang menyokong Perikatan Nasional (PN) dan BN.

‘Kalau (peratusan) mereka tinggi (menyokong sesebuah parti) itu bukan kita tidak masuk tetapi kita tidak memberi penumpuan kepada tempat-tempat yang banyak menyokong PN dan BN,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mutalib juga mengakui bahawa beliau tidak mempunyai pengalaman dalam berkhidmat dan perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada pengundi-pengundinya.

“Saya cakap kepada pengundi-pengundi, saya mungkin tidak ada pengalaman (dan) saya tak ada apa-apa yang pernah buat di Masjid Tanah.

“Tapi saya kata kepada mereka, kita punya Presiden, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah ada rekod yang cemerlang di Muar.

“Apa yang Syed Saddiq buat di Muar itu tak mustahil untuk kita buat (perkara) sama di Masjid Tanah,” tegasnya.