'Jangan jadikan PRU15 pentas kempen pemilihan UMNO'

in Politik by

Ahmad Maslan

PONTIAN – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan kesemua calon parti itu agar tidak menjadikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai pentas ‘berkempen’ untuk pemilihan parti, yang akan diadakan enam bulan selepas pilihan raya umum itu.

Sebaliknya, penyandang Parlimen Pontian berkata, kesemua calon UMNO hendaklah menggunakan tempoh yang masih ada ini dengan berkempen habis-habisan untuk memenangi kerusi yang ditandingi mereka.

Beliau berkata Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Mei lepas memutuskan bahawa pemilihan parti adalah dalam tempoh enam bulan selepas PRU15 diadakan.

“Kita belum tentukan bila pemilihan (parti itu), yang pasti tidak lewat daripada 19 Mei 2023. Oleh kerana itu, saya harap pihak-pihak ini (calon-calon) berhenti berkempen untuk pemilihan UMNO.

“(Yang penting) kita hendak menang pilihan raya (umum ini). Kita cuma ada lima hari saja lagi (tempoh berkempen). Lupakan perkara itu (pemilihan parti) buat sementara waktu, kemudianlah kita fikirkan mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas ramah mesra bersama masyarakat di Kampung Ayer Baloi di sini hari ini.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai terdapatnya calon UMNO yang seolah-olah menjadikan PRU15 sebagai medan kempen pemilihan parti.

Pada 29 Julai lepas, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas PRU15 diadakan.

Ahmad, yang akan mempertahankan Parlimen Pontian bagi penggal keempat, menasihati calon-calon UMNO dan BN supaya mengadakan ‘pecutan’ pada hari-hari terakhir berkempen sebelum tengah malam Jumaat ini.

“Saya nak ingatkan semua (calon) tiada undi penentu. Kena anggap semuanya (tak kira kaum atau kategori) adalah undi penentu. Setiap undi penting,” katanya.

Ahmad akan berdepan dengan Senator Datuk Isa Ab Hamid (PN-Bersatu), Shazwan Zdainal Abidin (PH-DAP) dan Jamaluddin Mohamad (GTA-Pejuang). – Bernama