Mangsa banjir di Johor meningkat 449 orang

in Edisi Johor by

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu penduduk setempat berpindah dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas ke PPS di SK Melayu Raya, Pontian, pada Ahad.

JOHOR BAHRU – Seramai 449 mangsa banjir daripada 104 keluarga di negeri ini dipindahkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari Isnin.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah itu itu meningkat berbanding 319 orang daripada 73 keluarga pada jam 8 pagi.

“Pertambahan mangsa banjir itu melibatkan daerah Tangkak iaitu 193 orang daripada 44 keluarga. Mereka dari Kampung Simpang 5 Darat; Kampung Parit Bunga Raya Hujung; Kampung Parit Bunga Raya dan Kampung Parit Pulai.

“Mereka dipindahkan ke dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama (SA) Simpang 5 Darat pada jam 11 malam tadi serta 12.30 tengah malam tadi,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Jelas JPBD, mangsa banjir dari daerah lain melibatkan seramai 17 orang daripada empat keluarga dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas, Pontian yang pindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya.

Di Kluang pula, mangsa banjir masih sama berjumlah 34 orang daripada tujuh keluarga dari Kampung Ithnin Maarof yang ditempatkan di dewan utama kampung berkenaan.

JPBD memaklumkan, jumlah terkini mangsa banjir di Kulai pula seramai 148 orang daripada 31 keluarga dari Kampung Baru Sengkang dan Kampung Murni Jaya yang dipindahkan ke PPS di dewan serbaguna serta dewan raya kampung terbabit.

“39 orang melibatkan 12 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak.

“Seramai 14 orang lagi melibatkan lima keluarga juga dari Kampung Seberang Batu Badak ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Tasek.

“Sementara empat orang daripada sebuah keluarga dari Kampung Kuala Paya ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Kuala Paya,” jelas JPBD.