Pameran Eksklusif Koleksi Keris Diraja Sultan Selangor

in Edisi by

Dari kanan, Syed Haizam Hishamuddin dan Raja Arshad bersama pembuat keris muda, Muzaffar dan Izuan (kiri sekali) beramah mesra selepas sesi taklimat.Raja Arshad (tengah) pada Majlis Taklimat Bersama Media di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Pameran Eksklusif Koleksi Keris Diraja Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bakal diadakan pada 2 Disember hingga 13 Mac 2023 di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini.

Pameran bertemakan Keris: Kuasa dan Identiti dengan kerjasama program Talent For World: Pembuat Keris Muda itu dianjurkan Yayasan Raja Muda Selangor dengan kerjasama Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, ia diadakan dalam usaha mewujudkan kesedaran dan menonjolkan keris sebagai penanda budaya alam Melayu serta mendokumentasikan dan memelihara warisannya.

“Sebanyak 94 keris unik, 59 daripada koleksi eksklusif Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta artifak tambahan dari Muzium Kesenian Islam akan mendedahkan perspektif baharu tentang keris.

“Pengaruh Islam terhadap reka bentuk dan pembangunan keris dapat dikesan sehingga hari ini dan menambah lagi karisma serta enigma dibawa melalui perlambangan dan ikonografi sejak zaman dahulu,” katanya pada Majlis Taklimat Bersama Media di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada Isnin.

Hadir sama, pemegang amanah Yayasan Raja Muda Selangor serta Selangor Youth Community (SAY), Datuk Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Alhaj dan Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia, Izuan Fadzli Muhammad.

**media[1983321]**

Dalam pada itu, Raja Tan Sri Arshad berkata, pameran berkenaan akan dibuka kepada orang ramai bermula dari 2 Disember hingga 13 Mac 2023 di ruang pameran Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Menurutnya, pameran itu juga akan membawa pelawat dalam pelayaran melalui alam maritim Asia Tenggara, menelusuri kekayaan sejarah keris yang turut menarik minat pelancong asing untuk didokumentasikan.

“Sepanjang pameran, pengunjung didedahkan dengan pelbagai program menarik seperti acara dan bengkel kemahiran membuat keris, ceramah dan demonstrasi pakar keris serta pelbagai lagi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai program Talent For World: Pembuat Keris Muda dan kaitannya dengan Pameran Diraja, beliau berkata, Talent For The World ialah satu siri program latihan eksklusif di bawah Yayasan Raja Muda Selangor.

Menurut Raja Arshad, program latihan itu bertujuan untuk menggilap belia dengan bakat luar biasa untuk meneruskan kerjaya dalam kemahiran menjadi salah seorang tukang terbaik dalam industri berkenaan.

Kata beliau lagi, Yayasan Raja Muda Selangor memulakan perjalanan menaja tiga pemuda cemerlang untuk menjalani latihan dengan lima pembuat keris terkenal sebagai mentor mereka di Pahang dan Terengganu.

“Latihan ini bermula pada 2019 dan selesai pada 2022. Setiap mentee berjaya mencipta keris yang ketara dan hasil seni mereka akan dipaparkan dalam Pameran Diraja pada kali ini.

“Tiga mentee terbabit ialah Muzaffar Mohd Zafri, Ahmad Azuan Othman dan Abdul Hakim Zulkifli manakala lima mentor mereka ialah Mazli Wahab (Pok Li), Mayazi Abu Bakar, Rozi Hassan, Wan Mohd Rozali Wan Abu Bakar dan Haji Harun,” katanya.