'Poland mampu lepasi fasa kumpulan di Qatar 2022'

in Sukan by

Dudek – Foto AFP

BEKAS penjaga gol Liverpool dan Poland, Jerzy Dudek percaya negaranya mampu melepasi fasa kumpulan di Piala Dunia Qatar 2022 yang akan bermula minggu hadapan.

Dudek yang berada di Malaysia untuk menyertai Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC), mengakui ‘The Eagles’ yang akan disertai pemain Robert Lewandowski dan Wojciech Szczesny, berhadapan dengan cabaran berat apabila diundi dalam Kumpulan C bersama pasukan pilihan Argentina, Mexico dan Arab Saudi.

“Tetapi undian itu berpihak kepada kami. Kami berhadapan Mexico dahulu dan kemudiannya Saudi sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang pasukan pilihan Argentina (bagi menduduki dua pasukan teratas untuk layak ke peringkat kalah mati),” katanya dalam satu kenyataan daripada penganjur WAGC.

Poland, berkedudukan ke-26 dunia, akan berhadapan Mexico pada 23 November, dengan kemenangan pada perlawanan itu akan meletakkan mereka pada kedudukan terbaik sebelum berhadapan pasukan lebih rendah Arab Saudi (52 dunia) tiga hari kemudian, dan terakhir berhadapan Argentina (tiga dunia) pada 1 Disember.

Dudek, 49, yang bermain bersama Liverpool antara 2001 dan 2007, akan sentiasa diingati atas kejayaan menyelamatkan dua cubaan Andriy Shevchenko pada minit-minit terakhir masa tambahan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2005 menentang AC Milan.

Milan mendahului 3-0 pada separuh masa, namun Liverpool berjaya membawa perlawanan ke masa tambahan dengan tiga gol, sebelum ‘The Reds’ menang menerusi sepakan penalti 3-2 dengan Dudek menyelamatkan dua sepakan penalti.

“Ia merupakan kejayaan terbaik karier saya,” kata Dudek, selepas sesi latihan di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur semalam untuk persediaan WAGC yang dijadualkan dari Selasa hingga Sabtu.

Dudek pemain dengan dua handikap, mula bermain golf selepas menggantung but bolanya pada 2012, berkata beliau kini ‘gilakan’ permainan itu.

Selain golf, Dudek mengendalikan sebuah akademi bola sepak.