PRU15: Abdul Rahman cadang wujud bandar baharu di Kota Belud

in Politik by

Abdul Rahman (dua dari kiri) ketika hadir dalam pertemuan dengan JPKK DUN Kadamaian di Kampung Malangkap, Kota Belud pada Isnin.

KOTA BELUD – Calon BN Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bercadang untuk mewujudkan bandar baharu di Kota Belud.

Beliau berkata, bandar baharu itu akan diwujudkan di Kampung Kesapang Tempasuk iaitu di kawasan yang turut dibina sebuah Politeknik.

“Terdapat 150 kedai baharu (akan dibina) sebab ada permintaan dengan kehadiran kira-kira 5,000 orang akan ada di situ.

“Jadi bandar baharu itu adalah satu perkara yang patut kita buat selepas pembinaan Politeknik,” katanya kepada pemberita selepas program pertemuan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Kampung Malangkap di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pembangunan yang akan dibawa ke Kota Belud jika berjaya menawan Parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Abdul Rahman yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, cadangan itu adalah bagi mengurangkan masalah yang dihadapi rakyat di Kota Belud.

“Bukan saja untuk kurangkan kesesakan lalu lintas tetapi juga memberikan peluang pekerjaan.

“Kalau 150 kedai perlukan 10 pekerja, bermakna 1,500 pekerjaan baharu dapat diwujudkan. Jadi di situ keadaan ekonomi akan berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai gerak kerja beliau sepanjang 10 hari berkempen, Abdul Rahman yang kini sudah hampir kehilangan suaranya memaklumkan beliau akan terus bertahan sehingga hari terakhir bagi memenangkan BN di kawasan Parlimen Kota Belud.

“Saya akan guna bahasa isyarat (disebabkan suaranya yang serak), saya harap esok suara Okay. Semalam hujan lebat jadi saya kena berucap dengan suara yang kuat sebab ramai orang di depan saya dan saya tidak mahu kecewakan mereka jadi saya teruskan berceramah biarpun terlalu bising,” katanya.

Sebelum itu, Abdul Rahman berdepan dengan saingan tiga penjuru dan akan menentang penyandang kerusi Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis daripada Parti Warisan (Warisan) dan Madeli @ Modily Bangali daripada Pakatan Harapan (PH).