PRU15: BN kerja keras menangkan Mohd Khairuddin

in Politik by

Ramli (kanan) sentiasa memberi sokongan kepada Mohd Khairuddin sebagai calon BN Parlimen Kuala Nerus.

KUALA NERUS – Jentera BN sentiasa dalam keadaan siap siaga, bersemangat tinggi dan komited untuk menangkan BN di Parlimen Kuala Nerus.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Nerus, Ramli Nuh berkata, sejak penamaan calon, jenteranya komited mencapai kemenangan bagi menebus kekalahan BN sejak dua penggal lalu.

“Setiap malam jentera BN di peringkat bahagian (Kuala Nerus) mengadakan mesyuarat dan memantau pergerakan jentera supaya turun padang.

“Saya lihat jentera parti memberi kerjasama dan mereka melakukan (kempen) semaksimum mungkin untuk menangkan calon BN Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, Khairuddin mendapat sokongan luar biasa daripada rakyat khususnya jentera parti dan pengundi tegar BN di Kuala Nerus sekali gus dilihat sebagai isyarat positif BN mampu membuat kejutan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Semangat yang ditunjukkan ahli-ahli untuk membantu calon (Mohd Khairuddin) amat tinggi dan mereka mahu melihat kemenangan PRU kali ini menjadi milik BN,” katanya.

Ramli menjelaskan perkara itu bagi menjawab satu laporan portal berita yang didakwa mengelirukan pengundi Parlimen Kuala Nerus.

Menerusi portal terbabit, dinyatakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin bakal berdepan protes senyap penyokong BN yang tidak boleh menerima bekas pemimpin Pas itu kini bertanding untuk parti mereka.

Mohd Khairuddin, yang dianggap calon mewakili idea penyatuan ummah melalui kerjasama UMNO dan Pas, lebih diterima dalam kalangan pimpinan tinggi namun bukan pengundi serta jentera pilihan raya.

Idea Muafakat Nasional yang dicipta di Kuala Lumpur juga tidak telus sampai ke Terengganu, negeri yang pernah jadi medan sengit pertembungan UMNO dan Pas yang kesan lukanya masih dirasai sampai ke hari ini.