PRU15: Jentera BN fokus kempen secara harmoni, elak provokasi

in Politik by

Ismail Sabri bersalaman dengan orang ramai ketika tiba bagi merasmikan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Seksyen Selangau WPC08 hari ini. – Foto Bernama

SEPANG – [DIKEMAS KINI] Jentera BN perlu fokus menjalankan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara harmoni tanpa melakukan sebarang provokasi atau fitnah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, jentera BN perlu memberi jaminan kepada rakyat yang gabungan itu akan membela nasib semua pihak sekiranya memenangi PRU15.

“Kita mesti jalankan kempen secara harmoni dengan tiada provokasi atau fitnah. Kita jual ‘produk’ kita jangan terlampau burukkan ‘produk’ orang lain.

“Produk kita perlu kita jual. Kalau rakyat terima kita, pasti mereka akan sokong kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan replika cek kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ismail Sabri turut menzahirkan keyakinan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya kali ini berbanding PRU14.

“Hubungan dengan GPS tidak pernah terputus sejak dari dahulu, walaupun GPS tidak ada dalam komponen BN tetapi hubungan kita mesra dan tidak pernah ada masalah

“Memang kita sangat rapat dan saya telah beberapa kali ke Sarawak… tidak ada masalah dari segi hubungan kita,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan calon Bebas bagi Parlimen Santubong, Affendi Jeman yang berkempen menggunakan slogan ‘BN,’ beliau berkata, pengundi diharap tidak keliru dengan tindakan sedemikian.

“BN tidak pernah merestui sesiapa guna simbol BN… kalau mereka guna nama BN, itu mereka sendiri yang dakwa… Kita tidak iktiraf mereka atau menyokong mereka, tidak ada kena-mengena dengan BN,” katanya.

Sebelum ini, Affendi memaklumkan bahawa beliau menggunakan slogan kempen dengan singkatan BN yang membawa maksud ‘Bawa Nikmat.’

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai tarikh pengundian awal dan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15.

Terdahulu, Ismail ketika mengulas penyerahan RM4 juta kepada MTUC hari ini berkata ia merupakan peruntukan yang telah diluluskan dalam mesyuarat agung kesatuan sekerja itu pada Julai lepas.

“Jangan ada pihak kata masa PRU baru beri… Kementerian Kewangan kata (sudah) siap dan kebetulan penyerahan (dibuat) dalam tempoh PRU,” katanya. – Bernama