PRU15: Pas Jelebu nafi diperguna PN

in Politik by

Muhammad Faudzi (tengah) menafikan dakwaan sepertimana tersebar pada kain rentang ketika di pejabat Bersatu Jelebu, petang Ahad.Kain rentang yang tersebar mengenai Pas.

JELEBU – Pas Jelebu menafikan parti berkenaan dipergunakan oleh gabungan Perikatan Nasional (PN) seperti tersebar menerusi kain rentang yang dipasang di beberapa tempat di sekitar Jelebu.

Timbalan Yang Dipertua Pas Jelebu, Muhammad Faudzi Jalil berkata, petugas Pas menyedari ada kain rentang yang mempertikaikan kerjasama Pas dengan Bersatu di hadapan sebuah sekolah di Kuala Klawang, kira-kira jam 7 pagi pada Ahad.

“Kami kemudiannya menerima banyak lagi aduan mengenai kain rentang berkenaan di lima lokasi lain di sekitar Parlimen Jelebu.

“Saya tidak menuduh mana-mana pihak kerana saya percaya apa yang berlaku akan memberi kebaikan dan rahmat kepada PN seterusnya memenangi kerusi Parlimen Jelebu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ada pihak lain dipercayai mengambil kesempatan menggantung kain rentang berkenaan untuk menggambarkan rasa tidak puas hati ahli Pas.

**media[1983002]**

Sebagai parti gabungan dalam PN, Pas menjalankan gerak kerja kempen dalam suasana yang baik bersama Bersatu dan Gerakan.

“Mewakili Pas kawasan Jelebu, saya menafikan sekeras-kerasnya perkara berkenaan ada berlaku, sebaliknya Pas bekerjasama dalam semua perkara dengan suasana harmoni, dalam keadaan berkasih sayang dan mesra,” katanya.

Jelasnya, tiada sengketa dan tiada mana-mana parti dipergunakan mahupun mengambil kesempatan malah kesemua parti gabungan itu dalam kesepakatan yang baik.

Berikutan itu, Muhammad Faudzi berkata, pihaknya membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Klawang pada jam 3.18 petang Ahad.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin mengesahkan menerima laporan yang dibuat.