PRU15: SPR tegaskan pengundi tidak benar guna telefon bimbit

in Politik by

SPR mengulangi kenyataan tidak membenarkan telefon bimbit di tempat mengundi. – Foto Bernama

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa semua pengundi tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit di tempat mengundi.

Unit Komunikasi Korporat SPR dalam satu kenyataan berkata, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan dalam tempat mengundi.

“SPR telah menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

“Pelaksanaan tatacara pengundian yang baru ini bolehlah dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya,” katanya pada Isnin.

Tambahnya, maklumat lanjut berkenaan tatacara ini juga telah dimuatnaik di laman media sosial Facebook, Instagram dan Twitter SPR.

“Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab mana-mana orang yang dibenarkan hadir dalam mana-mana urusan berkaitan pilihan raya untuk memelihara kerahsiaan maklumat pengundian dalam pilihan raya sebagai mana termaktub di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Sehubungan itu, SPR menyeru kesemua pengundi untuk mematuhi langkah-langkah pengundian yang telah ditetapkan ini ketika berada di tempat mengundi kelak,” katanya.