Ramai calon: Raikan demokrasi atau sukarkan pengundi?

in Politik by

Terlakar dalam sejarah pilihan raya umum negara akan jumlah calon bertanding yang begitu ramai, iaitu 1,386 orang. Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Usai penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 pada Sabtu lepas, terlakar dalam sejarah pilihan raya umum negara akan jumlah calon bertanding yang begitu ramai, iaitu 1,386 orang.

Mereka merangkumi 945 calon Parlimen termasuk 108 calon Bebas bagi merebut 222 kerusi Dewan Rakyat – terbanyak setakat ini. Sementara di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, 441 orang mengintai kerusi DUN Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15), serta satu di Sabah menerusi Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya yang diadakan serentak.

Tidak ubah seperti bufet yang menawarkan pelbagai jenis hidangan, pengundi mungkin rambang mata untuk memilih, khususnya pengundi muda yang baru pertama kali membuang undi. Namun, rata-rata pemerhati politik melihat kehadiran begitu ramai calon bukan isu besar.

Calon baharu

Bagi penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, jika faktor parti memainkan peranan penting pada pilihan raya umum (PRU) lepas, kali ini rakyat ada pertimbangan sendiri apabila mereka memangkah kertas undi pada 19 Nov ini.

Beliau yakin faktor calon dan “isu yang dekat di hati rakyat” menjadi keutamaan pengundi pada PRU kali ini yang bukan sahaja mahu melihat muka baharu tetapi juga kemampuan pihak bertanding dalam menunaikan janji manifesto masing-masing.

“Pengundi mahukan calon baharu dan tidak mahu orang sama. Disebabkan itulah kita melihat gabungan-gabungan parti politik mengemukakan calon-calon baharu sehingga ada beberapa ‘gergasi politik’ digugurkan, atas alasan memberi peluang kepada muka baharu,” katanya kepada Bernama.

Menurut pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran, Universiti Malaya itu, dapat dilihat parti bertanding menyasarkan pengundi muda apabila masing-masing mengetengahkan ramai muka baharu.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 21.17 juta rakyat Malaysia akan terlibat pada PRU kali ini dengan lebih enam juta orang adalah dalam kelompok usia 18 hingga 29 tahun.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, pengundi juga akan menilai manifesto yang dibawa oleh calon dan parti dengan isu kos sara hidup dan peluang pekerjaan antara aspek yang diutamakan oleh rakyat.

“Kita lihat hari ini ramai yang bekerja bukan mengikut kelulusan tetapi hanya sekadar cukup makan selain terpaksa bekerja lebih masa untuk memastikan keluarga hidup selesa. Inilah isu yang patut difokuskan calon,” katanya.

Setakat ini, kebanyakan gabungan parti bertanding menjanjikan beberapa pendekatan untuk menangani peningkatan kos sara hidup serta keadaan ekonomi yang dijangka lebih mencabar pada tahun depan.

Dr G. Manimaran mempunyai pandangan yang sedikit berbeza kerana kata beliau, muka lama masih dihargai oleh pengundi khususnya penyokong sesebuah parti.

Justeru katanya, ada kemungkinan mereka menolak calon baharu yang dikemukakan oleh parti tersebut.

“Dalam keadaan tertentu, kita tidak menafikan calon lama berpotensi mempengaruhi corak pengundian.

“Contohnya, calon nama besar dalam politik mungkin ada pengaruh tersendiri,” katanya yang turut berpandangan faktor parti masih lagi signifikan dalam mempengaruhi pengundi, terutama membabitkan gabungan parti politik baharu.

Pengundi matang

Faktor parti sebagai penentu juga turut diakui Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed yang berpandangan rakyat lebih cenderung memilih parti atau gabungan yang mempunyai platform stabil berbanding faktor calon semata-mata.

Beliau berkata,calon yang bertanding atas tiket Bebas lazimnya lebih sukar memenangi hati pengundi kerana mereka dilihat ‘bersendirian’ dalam membawa suara rakyat, sekali gus sukar meraih sokongan di Dewan Rakyat ataupun DUN.

Ditanya sama ada kehadiran begitu ramai calon dapat meningkatkan peratusan keluar mengundi, Ahmad Martadha berkata aspek itu tidak mempunyai impak terhadap jumlah pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebaliknya, beliau percaya parti-parti bertanding harus lebih berusaha meyakinkan pengundi untuk memangkah mereka, dan ini boleh dilakukan menerusi perincian manifesto seperti menjelaskan strategi penyelesaian masalah secara realistik kepada kumpulan sasaran.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Jamaie Hamil pula berpendapat, jumlah calon yang ramai menuntut kematangan pengundi ketika menimbang mereka yang bakal diangkat menjadi Yang Berhormat.

“Kehadiran ramai calon memberi lebih banyak pilihan kepada pengundi, dan di sinilah kematangan pengundi diperlukan,” katanya.

“Ini perlu agar undi mereka tidak sia-sia apabila calon yang tidak layak dipilih,” ujar pensyarah kanan sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Umumnya, pengundi yang benar-benar matang akan menyemak rekod prestasi calon dan tidak mudah terpengaruh dengan parti yang mempertaruhkan calon daripada golongan personaliti profesional, selebriti, aktivis ataupun ahli politik.

Beliau yang melihat jumlah calon yang besar itu sebagai sesuatu yang sihat dalam menyemarakkan demokrasi bagaimanapun bimbang jika parti lebih menumpukan pada isu politik berbanding kebajikan rakyat dan kestabilan negara.

Faktor keluarga

Memahami ‘kematangan dalam memilih’ adalah hasil daripada pengetahuan, Mohammad Tawfik dan Manimaran masing-masing berpendapat, pengaruh keluarga dan rakan sebaya berpotensi membantu golongan muda membuat keputusan.

“Pengaruh keluarga merupakan elemen sangat penting kerana mereka semestinya akan bertanya kepada ibu bapa calon mana yang sesuai untuk mereka pilih.

“Perbincangan dalam kalangan rakan-rakan juga membantu anak muda ini membuat penilaian sama ada calon atau parti yang mereka pilih itu sama dengan kehendak rakan-rakan atau sebaliknya,” katanya yang melihat pendidikan politik di negara ini masih belum memadai untuk melengkapi anak muda dengan kematangan politik.

Manimaran pula mendedahkan perkara sama dinyatakan oleh pengundi muda yang ditemuinya, namun beliau tidak menafikan ada juga yang cakna dengan senario politik negara termasuk mengambil kira manifesto dan tawaran yang diberikan oleh parti bertanding.

Ringkasnya, rata-rata pemerhati bersetuju walau apa juga keputusan pada 19 November nanti, paling penting pengundi harus ingat undi mereka pada hari itu adalah untuk hala tuju negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Justeru, tepuk dada tanya selera. – Bernama