Affendi Buang puas hati proses pengundian awal

in Nasional by

Affendi mengundi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn, pada Selasa. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal serta komitmen yang ditunjukkan oleh pegawai dan anggota tentera bersama pasangan di 153 pusat mengundi seluruh negara bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada Selasa.

“Apa yang saya dapati, mereka telah respons untuk pengundian awal dan telah datang beratur sejak jam 8 pagi,” katanya selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal dengan ditemani isterinya, Puan Seri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tun Hussein Onn, dalam Parlimen Setiawangsa.

Beliau mengundi pada jam 10.30 pagi di saluran satu di pusat itu yang merupakan antara 10 pusat pengundian awal yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kuala Lumpur.

Turut melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal di sekolah itu ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan isteri.

Affendi turut berharap cuaca baik di seluruh negara akan membantu peratusan tinggi keluar mengundi dalam kalangan tentera.

Proses pengundian awal bermula jam 8 pagi hingga 5 petang ini.

Mengikut perangkaan SPR sejumlah 117,473 anggota, pegawai dan pegawai kanan ATM di seluruh negara akan menjalankan tanggungjawab melaksanakan pengundian awal.

Sementara itu, Affendi mengulangi pendirian bahawa ATM sedia menghulurkan bantuan kepada SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan proses pengundian pada 19 November ini berjalan lancar.

“Kita sekadar membantu SPR sahaja jika ada keperluan bergantung kalau ada perkara-perkara yang tidak diingini seperti bencana banjir,” katanya. – Bernama