Al-Quran solusi segala cabaran

in Nasional by

Dalam mengurus cabaran, kita digalakkan supaya banyak mengadu, berdoa dan bersujud kepada-Nya. – Gambar hiasan (Gambar kecil: Fazrul)

SHAH ALAM – World #QuranConvention 3.0 bertajuk ‘Mengatasi Cabaran: Penyelesaian daripada Surah As-Sajdah’ memberi panduan al-Quran sebagai solusi bagi pelbagai cabaran yang melanda diri, keluarga dan negara.

Konvensyen tersebut dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama TickTalk TV yang akan diadakan di Dewan Perdana MITI, Kuala Lumpur pada 3 Disember ini.

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, sejak tahun 2020, rakyat mula terkesan akibat penularan wabak Covid-19, bencana alam, ekonomi dan politik yang tidak menentu di negara ini.

“World #QuranConvention bertaraf antarabangsa ini memfokuskan empat cabaran iaitu kewangan, kerjaya, keluarga serta sosial dan spiritual dengan suluhan akidah, ibadah, syariat dan gaya hidup,” ujarnya.

Tambah beliau, cabaran kewangan berkait dengan isu hutang, riba dan rasuah.

Jelasnya, Islam mengharuskan hutang sebagai cara mengeluarkan manusia daripada kesulitan, namun Islam mewajibkan kita melangsaikan hutang.

Cabaran kerjaya pula meliputi modal insan dan kemahiran diri untuk berdaya saing dalam bidang kerjaya.

Ujar Fazrul, cabaran keluarga meliputi tanggungjawab sebagai suami isteri, ibu atau bapa tunggal dan begitu juga anak, yang ada peranan masing-masing untuk sampai ke syurga.

Seterusnya, cabaran sosial dan spiritual perlu ditangani dengan menjaga iman agar tidak goyah.

“Surah as-Sajdah yang mengandungi 30 ayat memberi solusi dalam menghadapi ujian kehidupan.

“Justeru, kita perlu yakin terhadap al-Quran yang diturunkan oleh Tuhan sekalian alam sebagai panduan terbaik kepada semua manusia.

“Semakin kita patuh kepada ALLAH SWT, semakin mudah kita diberi jalan keluar. Dalam mengurus segala cabaran, kita banyak mengadu, berdoa dan bersujud kepadanya.

“Surah ke-32 menjadi surah lazim dibaca oleh imam dan juga Nabi Muhammad SAW pada setiap pagi Jumaat.

“Surah tersebut diharapkan boleh dijadikan motivasi mingguan kepada kita untuk bersujud kepada ALLAH dengan mendidik keluarga untuk lebih dekat kepada-Nya,” katanya.

Fazrul menyeru orang ramai untuk menimba ilmu dengan menyertai World #QuranConvention yang diadakan setahun sekali.

Penceramah dan qari jemputan adalah dari Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Palestin, Mesir dan Amerika Syarikat.

Orang ramai yang ingin menyertai World #QuranConvention 3.0 dikenakan bayaran RM50 dan boleh mendaftar di https://bit.ly/WQC2022.