Banjir Johor: Jumlah mangsa meningkat kepada 346 orang

in Edisi by

Anggota Angkatan Pertahanan Awam membantu penduduk setempat berpindah dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas ke PPS di SK Melayu Raya, Pontian.

JOHOR BAHRU – Bilangan mangsa banjir di empat daerah di negeri ini kini berjumlah 346 orang daripada 87 keluarga yang dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang Selasa.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sedikit berbanding 335 orang daripada 85 keluarga pada jam 8 pagi.

“Pertambahan mangsa banjir itu melibatkan daerah Tangkak, semuanya kini berjumlah 242 orang daripada 59 keluarga.

‘Mereka dari Kampung Simpang 5 Darat; Kampung Parit Bunga Raya Hujung; Kampung Parit Bunga Raya dan Kampung Parit Pulai.

“Mereka dipindahkan ke dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama (SA) Simpang 5 Darat pada jam 11 malam tadi serta 12.30 tengah malam tadi,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

JPBD memaklumkan, mangsa banjir dari Kluang, Pontian dan Segamat masih sama yang ditempatkan di empat PPS di daerah berkenaan.

“Di Kluang seramai 34 orang daripada tujuh keluarga dari Kampung Ithnin Maarof ditempatkan di dewan utama kampung berkenaan,” kata JPBD.

Sementara di Pontian, 17 orang daripada empat keluarga dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas, Pontian masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya.

Jelas JPBD, mangsa banjir di Segamat kekal 39 orang melibatkan 12 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak.

Katanya, seramai 14 orang lagi melibatkan lima keluarga juga dari Kampung Seberang Batu Badak ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Tasek.