Bot tanpa kru: Maritim lancar SAR

in Edisi by

Bot tanpa penumpang ditemui di sangkar ikan di Batu Maung pada jam 9 pagi Selasa.

GEORGETOWN – Sebuah bot bernombor pendaftaran PPS 7216 tanpa kru ditemui berhampiran perairan sangkar ikan Batu Maung, di sini pada jam 9 pagi tadi.

Pemeriksaan mendapati, bot tersebut dinaiki oleh M Gunalan berusia 46 tahun dari Bukit Tambun berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai di dalam bot.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat bagi menjejaki dua kru bot hanyut yang dijumpai berhampiran perairan sangkar ikan di Batu Maung.

“Kita menerima panggilan telefon daripada nelayan tempatan berhubung sebuah bot dijumpai hanyut tanpa kru berhampiran sangkar ikan batu maung kira-kira jam 8.20 pagi tadi (Selasa). Sebuah bot KILAT 26 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan bot tersebut.

“Bot itu telah dibawa ke sangkar ikan di Batu Maung oleh nelayan berhampiran bagi menggelakkan bot terus hanyut ke lokasi lain. Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah dimaklumkan dan operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan pada jam 9.00 pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, maklumat yang diterima daripada pihak polis, isteri mangsa telah membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya.

Manakala hasil maklumat yang diterima dari pihak Polis Bukit Tambun, isteri mangsa yang hilang turut membuat laporan polis berhubung kehilangan suami beliau yang keluar ke laut bersama rakan bernama Muraley a/l Varathaiah, 53, lebih kurang jam 5.00 pagi tadi.

“Menurut isteri mangsa, suaminya keluar ke laut bersama rakan yang dikenali sebagai V Muraley, 53 pada jam 5 pagi, namun tidak pulang ke rumah sehingga kini. Laporan dibuat setelah isteri mangsa mendapat maklumat daripada komuniti nelayan berhubung bot yang dinaiki suaminya dijumpai hanyut tanpa kru.

“Bot tersebut kemudiannya ditunda oleh bot KILAT 26 ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dua mangsa masih dijalankan,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti semasa berada di laut.

Katanya, orang awam diminta supaya melaporkan sebarang penemuan, kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.