Calon Bebas sedia peruntuk dana pasang 5,000 CCTV di Klang

in Politik by

Deepak (kanan) hadir meninjau sekitar lokasi proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang pada Selasa.

KLANG – “Saya sedia beri 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) secara percuma untuk dipasang sekitar kawasan Klang.” Demikian reaksi Calon Bebas Parlimen Klang, JR Deepak Jaikishan mengenai langkah yang akan diambilnya bagi membantu pihak berkuasa dalam mencegah jenayah di kawasan Klang.

Deepak berkata, usaha ke arah pencegahan jenayah bukan terletak pada pihak berkuasa semata-mata terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mereka mempunyai tanggungjawab yang besar, tambahan pula kawasan Klang ini luas.

“Sebagai warga Klang, seandainya terpilih, saya sanggup peruntukkan dana untuk memasang lebih 5,000 CCTV di kawasan-kawasan utama sekitar Klang ini bagi mencegah jenayah di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini pada Selasa.

Katanya, jenayah seharusnya dicegah daripada berlaku dengan menjalankan pemantauan pada setiap masa.

“Kita lihat di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, banyak CCTV yang dipasang, ini merupakan satu langkah baik dalam mencegah jenayah.

“Pemasangan CCTV sekali gus langkah yang amat berkesan, akan membuatkan para pelaku jenayah ini akan berasa khuatir melakukan perkara yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Parlimen Klang menyaksikan pertembungan tujuh penjuru yang melibatkan lima calon parti politik dan dua Bebas.

Calon bertanding termasuk V Ganabatirau (PH), Hedrhin Ramli (Bebas), Loo Cheng Wee (Warisan) dan S Chandrasegar (PRM).

Turut bertanding calon Perikatan Nasional (PN), Dr P Jaya Chandran; JR Deepak Jaikishan (Bebas) dan Tee Hooi Ling mewakili BN.