Calon PH Hulu Selangor sanggup tolak gaji, masuk tabung PH

in Politik by

Dr Sathia Prakash

HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH) Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan mengakui sanggup untuk tidak menerima gaji jika menang di kerusi Parlimen itu, sebaliknya akan diisi ke Tabung PH Hulu Selangor yang akan diwujudkannya nanti.

Beliau berkata, tindakan itu sebagai langkah permulaan membentuk inisiatif bagi membela nasib rakyat yang kurang berkemampuan.

Tambahnya, inisiatif mewujudkan tabung PH diilhamkan sendiri bagi memudahkan rakyat mendapatkan bantuan terus tanpa melalui mana-mana pihak.

“Jika saya diberi mandat sebagai ahli Parlimen, gaji yang saya terima akan saya masukkan terus ke dalam Tabung PH Hulu Selangor.

“Saya akan pecahkan jumlah gaji tersebut kepada tiga bahagian iaitu 30 peratus untuk belia, 30 peratus wanita dan 40 peratus untuk kesihatan,” katanya ketika bersiaran secara langsung sempena Pelancaran Tawaran PH Hulu Selangor di Bilik Gerakan Utama Harapan Hulu Selangor.

Beliau berkata, tabung tersebut akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh ketiga-tiga pecahan kategori penerima sekiranya memerlukan sebarang perbelanjaan segera.

Menurut Dr Sathia, jika terdapat pesakit yang memerlukan bantuan seperti kerusi roda dan permohonan untuk mendapatkannya terpaksa melalui proses yang panjang, maka Tabung PH boleh digunakan mendapatkan kerusi tersebut dengan segera.

“Saya bagi contoh belia yang memerlukan kelengkapan untuk sebarang aktiviti sukan, kebiasaannya mereka terpaksa membuat permohonan mengikut prosedur biasa yang mungkin memakan masa yang lama.

“Jadi, tabung PH ini boleh digunakan untuk menyelesaikan keperluan tersebut.

“Begitu juga jika melibatkan apa saja keperluan wanita di dalam Parlimen Hulu Selangor ini,” katanya.

Dr Sathia yang merupakan calon daripada Pakatan Harapan berkata, inisiatif yang diwujudkan merupakan langkah jangka pendek dalam menyelesaikan setiap keperluan rakyat yang asas dan mendesak tanpa perlu melalui proses yang merumitkan.

Beliau juga memberitahu sentiasa merancang untuk membawa penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang demi kesejahteraan rakyat Hulu Selangor.

Selain itu, Dr Sathia turut mengumumkan 12 Tawaran Harapan Hulu Selangor yang akan dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

12 tawaran Calon PH Parlimen Hulu Selangor

1. Menaik taraf kemudahan jalan raya

2. Menaik taraf sistem pengangkutan awam

3. Mewujudkan Hospital Pakar Kerajaan

4. Penambahan klinik kesihatan di kawasan Bukit Sentosa

5. Memperkasa Dasar Rumah Mampu Milik

6. Menyelesaikan projek pembangunan terbengkalai

7. Memperluaskan peluang pekerjaan untuk golongan B40 dalam pelbagai bidang

8. Memperluaskan capaian internet berkelajuan tinggi

9. Pemerkasaan teknologi hijau ke arah kelestarian alam sekitar

10. Memastikan prasarana sukan dan rekreasi yang lengkap dapat disediakan

11. Mempertingkatkan program pembangunan usahawan

12. Merancakkan sektor pelancongan daerah