Laporan berita beretika semasa kempen PRU15: Annuar

in Nasional by

Annuar (tengah) bersama pelajar Tingkatan Enam dalam Daerah Bagan Datuk yang menerima Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak (STAR) Selekoh, Bagan Datuk pada Selasa. – Foto Bernama

BAGAN DATUK – Pelaporan berita oleh agensi media termasuk media baharu ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat secara beretika, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai mana-mana media yang menyiarkan berita-berita palsu atau menyentuh sensitiviti kaum, agama serta institusi diraja sejak proses penamaan calon pada 5 November lalu.

“Secara keseluruhannya, saya melihat laporan-laporan berita yang disiarkan adalah baik dan saya berharap ia akan berterusan sehingga hari pengundian nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Peranti Siswa di Parlimen Bagan Datuk kepada 93 pelajar membabitkan dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak dan SMK Khir Johari di sini, pada Selasa.

Pada Selasa, berlangsung pengundian awal bagi PRU15 dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian.

“Saya berharap semua pihak supaya menghormati pengamal media kerana mereka merupakan golongan profesional dan mereka bukan individu yang berpihak dengan mana-mana parti,” kata Annuar. – Bernama