Penduduk resah, sudah lapan hari dilanda banjir termenung

in Edisi Kelantan by

Penduduk di beberapa buah kampung di Rantau Panjang resah memikirkan nasib mereka selepas kawasan rumah dilanda banjir termenung sejak lapan hari lalu.Mohd Faiz sudah seminggu terpaksa bergantung kepada bot untuk bergerak membeli barangan dapur.
Mustapa menggunakan perahu untuk berulang alik dari PPS Tok Deh ke rumahnya di Kampung Tersang, Rantau Panjang sejak banjir termenung melanda.

RANTAU PANJANG – Penduduk di beberapa buah kampung di sini resah memikirkan nasib mereka selepas kawasan rumah dilanda banjir termenung sejak lapan hari lalu.

Wakil penduduk, Mustapa Hassan, 75, berkata, walaupun cuaca baik dan tiada hujan namun paras air tidak menunjukkan penurunan sebaliknya masih menenggelamkan kawasan rumah sekali gus mengganggu urusan harian.

“Air di dalam rumah sudah mencecah bumbung sejak lapan hari lalu dan sehingga sekarang tiada perubahan.

“Kami bimbang jika hujan lebat, keadaan akan menjadi semakin buruk. Setakat ini saya terpaksa berulang alik dua kali sehari dari pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh ke Kampung Tersang untuk menjenguk keadaan rumah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

**media[1985120]**

Menurutnya, perahu merupakan pengangkutan utama untuk bergerak sejak banjir termenung melanda.

Bagi Mohd Faiz Haikal Meli, 15, pula sudah seminggu dia terpaksa bergantung kepada bot untuk bergerak.

“Saya menjadi tunjang keluarga untuk keluar mencari barangan dapur dan belikan ubat untuk ibu yang sakit.

“Banjir termenung ini membuat saya dan penduduk lain berada dalam keadaan tidak selesa serta sentiasa bimbang,” katanya.

Ujar Mohd Faiz, sebelum ini banjir tidak mengambil masa yang lama dan akan surut bila tiada hujan.

Dia memberitahu, sejak tahun lalu keadaan banjir di sini berubah malah makin teruk dengan arus yang deras serta dalam.

**media[1985122]**

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang (JKBRP), Norhisham Abdullah mendakwa situasi banjir termenung berlaku disebabkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Katanya, selain Kampung Tersang ia juga melibatkan Kubang Kual dan Padang Licin.