PRU15: Calon PN tidak sama seperti BN – Hamzah

in Politik by

Hamzah ketika ditemui dalam lawatan ke pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Sungai Rambutan di sini pada Isnin.

LARUT – Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan calon dan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak sama dengan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengingatkan Bersatu agar tidak berlagak suci tidak wajar dikeluarkan.

Hamzah turut bertanya kepada Mohamad pernah atau tidak Timbalan Presiden UMNO itu datang ke rumahnya untuk meminta pertolongan.

“Kalau dia kata Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), berlagak bersih, tolong tanyakan kepada dia. Ada tak bulan April 2019 dia datang rumah saya, datang minta tolong. Itu sahaja soalannya supaya dia boleh jawab,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Sungai Rambutan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, hakikatnya Bersatu meletakkan semua calon-calon dalam kalangan pemimpin yang tidak mempunyai masalah dan bersih daripada tuduhan mahkamah.

“Itu bandingan antara PN dan BN. Saya nak maklumkan tak sama. Saya tak mahu menimbulkan perkara yang bukan-bukan, jadi janganlah membangkitkan isu sepertinya PN ini satu-satunya parti yang sama macam mereka-mereka ini,” katanya.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN dilapor mengingatkan Bersatu tidak berlagak suci sedangkan parti itulah yang bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menipu rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau mahu, rakyat perlu menilai kembali dosa-dosa Bersatu dalam gabungan itu walaupun parti berkenaan kini bersama PN.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga penyandang Parlimen Larut berkata, isu membabitkan pemimpin BN ini bukanlah perkara yang dibangkitkan kalangan PN dan Bersatu, sebaliknya didedahkan sendiri oleh presiden mereka.

“Mungkin juga dia dah mula takut dan buat cerita yang bukan-bukan sedangkan perkara ini presiden dia sendiri yang bercakap, bukan kalangan kita (PN).

“Presiden dia yang bercakap Tok Mat Hassan akan masuk dalam, jadi kalau betul Tok Mat akan masuk dalam, apa kesnya?cuma kita peringatkan dia (Tok Mat Hassan),” katanya.

KDN beri amaran kenyataan Nga Kor Ming

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran kepada Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh membakar sensitiviti kumpulan tertentu.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kenyataan bahawa negara akan menjadi seperti Afghanistan dan kumpulan Taliban di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Pas, boleh mengakibatkan ketakutan dan rusuhan.

“Kalau dia kata, Afghanistan, Taliban dan apa semua ni, saya rasa dia adalah pemimpin yang paling cetek pemikirannya kerana dia hanya menakutkan dan membakar semangat kumpulan-kumpulan tertentu.

“Kalau ada yang membabitkan rusuhan atas sifat beliau mengeluarkan kenyataan itu, saya akan buat laporan polis dan saya minta supaya polis mengambil tindakan terhadapnya,” katanya.

Dalam laporan sebuah portal berita memetik, penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan itu memberi amaran pentadbiran Malaysia akan menjadi seperti ‘negara Taliban’, bagi memastikan pengundi bukan Islam tidak mengundi calon PN.