PRU15: Harmoni bantu mahasiswa balik mengundi

in Nasional by

Huzayl (kiri) dan Siti Dayana

SHAH ALAM – Rintihan mahasiswa mahu pulang mengundi di kampung halaman didengari Persatuan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni) apabila projek ‘Free Ride Pulang Mengundi’ ditawarkan kepada mereka yang memerlukan.

Presidennya, Huzayl Mohammad Noor Sia berkata, inisiatif tersebut digerakkan apabila Harmoni masih menerima panggilan daripada mahasiswa yang memohon bantuan meringankan beban pulang mengundi.

Menurutnya, corak pulang mengundi dalam kalangan anak muda adalah sangat memberangsangkan, malah kaji selidik turut menunjukkan golongan mahasiswa begitu bersemangat untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Meskipun begitu katanya, tidak semua universiti mempunyai kapasiti untuk membantu pelajar pulang ke kampung menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Sehubungan itu katanya, Harmoni menggerakkan tiga model bantuan dalam projek ‘Free Ride Pulang Mengundi’ bagi memastikan proses membantu mahasiswa yang memerlukan berjalan lancar dan memberi manfaat secara lebih menyeluruh.

“Model pertama yang Harmoni laksanakan adalah menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi menghantar mahasiswa ke kampung halaman. Usaha ini mendapat kerjasama baik daripada persatuan anak negeri di pusat pengajian tinggi yang menyediakan senarai pelajar yang memerlukan bantuan.

“Kedua, menyediakan perkhidmatan kongsi kereta secara percuma. Kemudahan ini bertujuan membantu menghantar mahasiswa yang sudah mempunyai tiket bas tetapi tiada kenderaan untuk ke terminal pengangkutan awam tersebut.

“Model ketiga adalah memberi peluang kepada golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan untuk membuat tuntutan di atas tiket bas dan tiket kapal terbang ke Borneo yang telah dibeli. Sebanyak 10 mahasiswa dari Sabah dan Sarawak berpeluang membuat tuntutan tiket kapal terbang kepada Harmoni, manakala 100 orang untuk tuntutan tiket bas,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Projek Free Ride Pulang Mengundi, Siti Dayana Zawani berkata, sebanyak empat buah bas disediakan bagi membawa mahasiswa pulang mengundi iaitu di Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM) serta dua kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor dan Pagoh, Johor.

Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Kesukarelawanan Persatuan Belia Harmoni berkata, dianggarkan 160 mahasiswa akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan bas yang disediakan itu.

Sementara bagi perkhidmatan kongsi kereta, katanya, dianggarkan seramai 200 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan dihantar ke terminal bas berdekatan daripada pusat pengajian masing-masing.

“Mahasiswa yang ingin mendapatkan perkhidmatan Free Ride Pulang Mengundi ini, mereka boleh menghubungi pegawai petugas Harmoni di pusat pengajian masing-masing.

“Petugas Harmoni terdapat di lapan buah universiti tempatan iaitu UM, UIAM, UUM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Selain itu, mereka juga boleh menghubungi persatuan mahasiswa anak negeri di universiti masing-masing bagi mendapatkan perkhidmatan tiket percuma pulang ke kampung,” katanya.