PRU15: Mohd Zubir maafkan individu conteng poster

in Politik by

Mohd ZubirAntara poster Mohd Zubir di sekitar bilik gerakan MCA, di Kampung Cina l, di sini yang diconteng individu tidak bertanggungjawab.

KUALA TERENGGANU – Calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong tidak berhasrat membuat laporan polis sebaliknya memaafkan individu yang bertindak menconteng posternya.

Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menyifatkan perbuatan yang dilakukan di sekitar bilik gerakan MCA, di Kampung Cina di sini, pada Isnin lalu tidak meninggalkan kesan terhadap dirinya.

“Saya husnuzon (berbaik sangka) mungkin orang yang buat itu adalah orang tidak siuman dan sebagainya. Biarkan mereka kerana ia (perbuatan menconteng) tidak mendatangkan apa-apa kesan pada saya.

“Bagi saya, saya maafkan mereka. Kalau nak conteng, conteng muka saya. Kalau saya (dipilih) jadi Yang Berhormat (YB), kalau saya tak laksanakan amanah, mari (datang) conteng muka saya. Itu sebenarnya yang sepatutnya dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, pada Selasa.

Jelas Mohd Zubir, beliau diterap dengan konsep kasih sayang sejak kecil menyebabkan isu itu tidak mempengaruhi emosinya melainkan jika perbuatan yang mengancam nyawa.

**media[1984939]**

“Konsep saya dari kecil ialah berkasih sayang. Ada makan, sama-sama kita makan. Tak ada makan sama-sama kita cari makan. Jangan ada yang terlampau kaya, ada ‘gap’ (jurang) dengan orang miskin. Sebab itu ada konsep bagaimana untuk berkasih sayang.

“Zakat kita perkasakan, cukai pendapatan kita perkukuhkan, derma banyak boleh buat. Saya nak jadikan bandar Kuala Terengganu amalkan konsep Umar Abdul Aziz,” kata beliau.

Isnin lalu, enam poster Mohd Zubir yang ditampal di sekitar bilik gerakan MCA, Kampung Cina di sini dikesan diconteng oleh individu tidak bertanggungjawab.

Perbuatan itu disedari petugas bilik gerakan tersebut kira-kira jam 9 pagi.

Hasil siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan seorang lelaki kira-kira jam 3.30 pagi.