PRU15: Pas yakin PN tak perlu gabungan lain di Perak

in Politik by

Razman

IPOH – Pas Perak yakin Perikatan Nasional (PN) tidak memerlukan gabungan lain untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, Pas Perak telah membina ikatan awal dalam PN sejak awal penubuhan.

Jelas beliau, hasil gabungan kukuh itu telah berjaya membentuk pasukan yang mantap dan berstrategi bagi mencapai impian memimpin Negeri Perak.

“Menyedari bahaya penguasaan DAP melalui Pakatan Harapan (PH), gabungan dalam PN Perak telah meletakkan calon di kesemua 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 24 Parlimen. Usaha ini adalah bukti kesungguhan persediaan PN menawan Perak.

“Pas Perak juga menyedari pengaruh UMNO-BN di kerusi melayu dalam Perak. PN Perak telah memberi tumpuan khusus terhadap 40 kerusi dominan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Razman berkata, pemerintahan dominasi Melayu Islam perlu diperkasakan malah sebarang usaha merobek kedudukan ini akan menyebabkan ketidakstabilan dalam politik dan pemerintahan.

Menurutnya, Pas Perak yakin kekuatan penyatuan melayu merupakan solusi kestabilan politik dan agama di samping dukungan pelbagai kaum yang tidak ekstrem dalam membentuk pemerintahan negeri Perak.

“Berdasarkan fakta dan realiti semasa, Pas Perak menyeru seluruh pengundi khasnya di negeri Perak terus bersama gelombang kesedaran dan perubahan untuk mengundi PN.

“Jika dinilai perkembangan terkini, Pas Perak meyakini PN Perak mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa perlu gabungan lain demi kestabilan politik negeri,” katanya.

Menurut Razman, sebarang usaha untuk membentuk jajaran bersama PH perlu disekat dan dihalang.