PRU15: Perak mampu sumbang 11 kerusi Parlimen untuk BN

in Politik by

Annuar menyampaikan ucapan dalam sebuah program di Pejabat UMNO Bahagian Tambun.

IPOH – Perak dijangka mampu menjadi antara penyumbang kerusi Parlimen terbanyak kepada BN selain Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 11 hingga 12 kerusi Parlimen mampu dimenangi oleh BN di Perak.

Menurutnya, bagaimana pun jentera BN tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan itu.

“Perak antara negeri yang mempunyai potensi yang besar untuk menyumbang kerusi Parlimen kepada BN berbanding pilihan raya yang lepas.

“Tetapi dinamik politik dalam masa tiga empat hari boleh berubah terutama pada tiga hari terakhir apabila pengundi muda balik. Ini semua kena disusun betul-betul,” katanya kepada pemberita selepas program Perjumpaan Santai Bersama Tan Sri Annuar Musa di Pejabat UMNO Bahagian Tambun di sini pada Selasa.

Hadir sama pada program itu, calon BN kerusi Parlimen Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz dan calon BN DUN Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abdul Rahman.

Beliau berkata, secara umum jentera parti bergerak dengan baik dan berjalan lancar.

Pada PRU14 lalu, BN menang 11 kerusi di Perak antaranya Gerik, Lenggong, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Larut, Bagan Serai, Bukit Gantang, Parit, Tapah, Bagan Datuk dan Pasir Salak.