PRU15: Tak pernah 'miss' mengundi walau berkerusi roda

in Nasional by

Mohd Said menggunakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya untuk membuang undi.

SHAH ALAM – Biarpun dengan bantuan kerusi roda, seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya dekat sini, tidak patah semangat dan melepaskan peluang menunaikan haknya untuk mengundi.

Mohd Said Chatar, 59, berkata, kerusi roda itu digunakan bagi memudahkan pergerakannya untuk membuang undi di Pusat Pengundian Awal Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Dia mengidap penyakit buah pinggang dan masih dalam tempoh rawatan sekali gus membataskan pergerakannya malah memerlukan bantuan untuk berjalan dalam jarak yang jauh.

Saya masih lagi boleh berjalan tapi tak kuat dan perlu guna tongkat, ketika sampai di sini saya disaran menggunakan kerusi roda disediakan bagi melancarkan proses untuk membuang undi.

“Sepanjang menyertai PDRM selama 36 tahun ini saya tidak pernah ‘miss’ untuk mengundi walaupun ketika tidak sihat tetapi mungkin ini yang terakhir kerana tahun depan sudah bersara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuang undi di Pusat Pengundian Awal Kompleks SMS PDRM (Pusat Bekalan Polis), Jalan Subang Lama U2 Shah Alam di sini pada Selasa.

Seramai kira-kira 16, 000 pegawai dan anggota PDRM di Selangor yang berdaftar sebagai pengundi awal dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunaikan tanggungjawab mereka pada Selasa.

Proses pengundian itu turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed yang tiba di Pusat Pengundian Awal Kompleks SMS PDRM (Pusat Bekalan Polis) pada jam 8 pagi.