PRU15: Tiga laporan polis termasuk nafi beri wang diterima

in Nasional by

Zaidy turut beratur bagi melaksanakan undi awal di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Daerah Kuala Muda pada Selasa.Zaidy selesai melaksanakan undi awal di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Daerah Kuala Muda pada Selasa.

SUNGAI PETANI – Pecah stor, koyak poster dan penafian beri wang ketika berkempen antara laporan polis diterima membabitkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, setakat ini, pihaknya menerima tiga laporan polis sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula 5 November lalu.

Menurutnya, kejadian pecah stor dipercayai berlaku di Sungai Petani membabitkan parti politik yang bertanding dan siasatan sedang dijalankan.

“Kita sedang siasat kejadian sebenar pecah stor ini kerana laporan menyebut hanya kehilangan barang makanan yang disimpan di situ.

“Siasatan lanjut juga akan dibuat berhubung kejadian koyak poster yang dipercayai berlaku di Gurun, Kedah,” katanya kepada media ketika melaksanakan undian awal di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Daerah Kuala Muda pada Selasa.

Jelas Zaidy, polis turut menerima laporan penafian wakil calon berhubung pemberian wang ketika berkempen.

**media[1984501]**

Katanya, laporan dibuat bagi tujuan menafikan dakwaan bahawa pihak berkenaan telah menyelitkan wang tunai RM50 ketika mengedarkan kalendar kepada pengundi semasa berkempen.

“Kesemua kes membabitkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zaidy berkata, seramai 473 anggota dan pegawai polis melaksanakan undian awal di sekolah berkenaan pada Selasa.

Seramai 143 pengundi dari Parlimen Sungai Petani manakala 330 pengundi adalah dari Parlimen Merbok.

“Kita menasihatkan semua parti politik tidak melakukan sebarang provokasi sehingga menjejaskan kelancaran PRU15 dan diharapkan proses pengundian berlangsung secara aman,” katanya.