Trend diabetes membimbangkan, beban kos rawatan meningkat

in Nasional by

Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR – Prevalen diabetes di negara ini menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan selain beban kos rawatan penyakit itu yang dijangka terus melonjak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kira-kira 3.9 juta (18.3 peratus) orang dewasa menghidap diabetes di Malaysia dan hampir separuh daripada pesakit diabetes tidak menyedari status penyakit mereka.

“Pengesanan diabetes dan permulaan awal rawatan adalah amat penting dalam pengurusan diabetes dan seterusnya membantu mencegah komplikasi dan kematian pramatang,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan hari ini.

Selain itu Dr Noor Hisham berkata, laporan “The Direct Healthcare Cost of Noncommunicable Diseases in Malaysia” yang dikeluarkan baru-baru ini menganggarkan sebanyak RM4.38 bilion (45.38 peratus daripada jumlah kos keseluruhan) telah dibelanjakan bagi tahun 2017 untuk rawatan diabetes.

“Beban kos ini dijangka akan terus meningkat sekiranya tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mencegah dan mengawal penyakit tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 355,887 individu berumur 40 tahun ke atas telah menjalani saringan di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dari 1 Julai hingga 13 Nov tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 195,215 (54.85 peratus) disahkan menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) sebelum saringan, 137,380 (38.6 peratus) individu didapati bebas NCD tetapi dikesan mempunyai faktor risiko NCD seperti obesiti, merokok dan mempunyai bacaan tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol yang melebihi paras normal; manakala 23,293 (6.55 peratus) adalah sihat.

Seramai 210,414 individu bawah 40 tahun disaring pada tempoh sama dan didapati 84,395 (40.11 peratus) disahkan menghidap NCD sebelum saringan; 97,158 (46.14 peratus) mempunyai faktor risiko NCD, manakala 28,931 (13.75 peratus) individu adalah sihat,” katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Kebangsaan dengan tema Akses Kepada Penjagaan Diabetes – Pendidikan untuk Melindungi Hari Esok dilancarkan bagi meningkatkan kesedaran dalam komuniti tentang kepentingan akses kepada perawatan dan penjagaan diabetes.

“KKM menyeru orang ramai mengambil peluang ini untuk memeriksa status Indeks Jisim Tubuh (BMI), tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol dalam darah di mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya. – Bernama