Turkiye tolak ucapan takziah AS

in Global by

Suleyman Soylu dikerumuni pemberita selepas melawat lokasi serangan di Istiklal Street di Istanbul. – Foto Agensi

ANKARA – Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu menegaskan Turkiye menolak ucapan takziah Amerika Syarikat (AS) susulan insiden letupan di Istanbul pada Ahad.

Menurut Suleyman, Ankara tidak menerima sentimen Washington kerana AS selama ini secara terbuka menyokong Unit Perlindungan Rakyat (YPG) di Syria yang ada kaitan secara langsung dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan.

Ankara mendakwa YPG sebagai serpihan PKK yang bertanggungjawab melancarkan pemberontakan menentang Turkiye sejak 1984.

PKK sejak sekian lama mahu menubuhkan pemerintahan sendiri puak Kurdis di tenggara Turkiye.

Turkiye serta sekutu Barat sebelum ini menyenaraikan kedua-dua PKK dan YPG sebagai organisasi pengganas.

Mesej takziah ini harus ditafsirkan sebagai ‘pembunuh sentiasa tiba di tempat kejadian terlebih dahulu’.

“Kami pasti akan memberikan jawapan yang jelas kepada mesej ini,” kata Suleyman secara samar.

Pada Ahad lalu, letupan kuat menggegarkan Istiklal Street yang merupakan destinasi beli-belah popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.

Insiden itu meragut lapan nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 81 mangsa lain.

Suleyman menuduh serangan tersebut didalangi militan PKK.

Beliau mendakwa arahan serangan itu dikeluarkan di bandar utara Syria, Kobani di mana tentera Turkiye melaksanakan operasi menentang YPG sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tiada kompromi

Dalam pada itu, Suleyman menegaskan Ankara tidak akan berdiam diri susulan letupan di Istiklal Street dan berikrar menghukum dalang di sebalik serangan tersebut.

Malah katanya, Turkiye akan terus memerangi militan PKK dan YPG yang kini meluaskan pengaruh mereka di Syria serta Iraq.

“Anda boleh memerangi keganasan di pergunungan, di luar sempadan atau dalam wilayah sendiri.

“Jika anda terlepas mencegahnya, maka anda harus membayar harga yang tinggi.

“Tahun ini sahaja, kami berjaya mematahkan 200 tindakan keganasan.

“Situasi boleh bertukar lebih buruk jika ia tidak dicegah,” ujarnya.

Suspek utama mengaku ejen PKK

Dalam perkembangan berkaitan, wanita warga Syria yang juga suspek utama serangan di Istiklal Street mengaku kepada polis bahawa dia melakukan serangan itu atas arahan PKK.

Ahlam Albashir berkata dia dilatih sebagai pegawai perisik khas oleh PKK dan memasuki Turkiye secara haram melalui Afrin di Syria untuk melakukan serangan itu.

Identiti Ahlam didedahkan kepada umum selepas wajahnya dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebelum serangan itu berlaku.

Jabatan Polis Istanbul dalam satu kenyataan menyebut bahawa bahan letupan yang digunakan dalam serangan itu adalah trinitrotoluene TNT, salah satu bahan letupan berkuasa tinggi.

Dalam tempoh 48 jam lalu, seramai 46 suspek termasuk penyerang, ditahan dalam operasi polis yang dijalankan di 21 lokasi berasingan di Istanbul. – Agensi