20 rumah di Kampung Laut Skudai dilanda banjir kilat

in Edisi Johor by

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) meninjau keadaan banjir di Jalan Bunga Dahlia 8, Senai, Johor Bahru, pada Rabu.

JOHOR BAHRU – Kira-kira 20 rumah di Kampung Laut Skudai di sini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat pada petang Rabu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memberitahu, air naik sehingga 1.5 meter namun setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Seramai empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memantau di kawasan kampung berkenaan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan keadaan terkawal dengan keadaan cuaca mendung,” menurut kenyataan berkenaan pada Rabu.

Sementara itu, JPBD memaklumkan, bilangan mangsa banjir di tiga daerah di Johor kini berjumlah 327 orang daripada 82 keluarga yang dipindahkan ke enam PPS setakat jam 8 malam Rabu.

Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sedikit berbanding 330 orang daripada 82 keluarga pada jam 4 petang.

Jawatankuasa berkenaan menjelaskan, di Kluang seramai 32 orang daripada enam keluarga dari Kampung Ithnin Maarof dan Kampung Sungai Linau ditempatkan di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof.

**media[1987179]**

Sementara di Tangkak, masih berjumlah 242 orang daripada 59 keluarga sejak Isnin dan mereka dari Kampung Simpang 5 Darat; Kampung Parit Bunga Raya Hujung; Kampung Parit Bunga Raya dan Kampung Parit Pulai.

Kata JPBD, mereka dipindahkan ke dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama (SA) Simpang 5 Darat.

Begitu juga mangsa banjir di Segamat, kekal 39 orang melibatkan 12 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak.

“Seramai 14 orang lagi melibatkan lima keluarga juga dari Kampung Seberang Batu Badak ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Tasek,” kata JPBD.