21 nelayan Vietnam guna pukat tunda ganding ditahan

in Edisi Terengganu by

Mohd Khairulanuar (tengah) menunjukkan antara hasil rampasan dari dua buah bot nelayan Vietnam yang ditahan menceroboh perairan negara pada malam Ahad.

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu menahan 21 nelayan Vietnam dipercayai menggunakan pukat tunda ganding bagi menangkap hasil laut di perairan negara.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Majid@Razali berkata, semua kru serta tekong dan dua bot ditahan kira-kira jam 8.15 malam pada Ahad di kedudukan 60 batu nautika dari Kuala Terengganu.

“Kita syaki mereka menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan pukat tunda ganding kerana salah sebuah bot hanya dinaiki tiga kru sahaja.

“Mengikut kaedah tangkapan ikan, tiga kru tidak mampu untuk mengendalikan sepenuhnya bot dan dalam masa yang sama menangkap ikan.

“Sebab itulah kita percaya bot itu digerakkan untuk menangkap ikan menggunakan pukat tunda ganding,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu, di sini, pada Rabu.

Menurut Mohd Khairulanuar, penahanan ke atas nelayan asing itu dibuat ketika rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Naga Barat dan Op Khas Kuda Laut di perairan Terengganu.

Beliau berkata, seramai 21 kru warga Vietnam termasuk tekong berumur antara 19 hingga 45 tahun yang ditahan gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah.

“Kita turut merampas peralatan menangkap ikan dan bekalan diesel dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM3 juta manakala bot dan kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Kes itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.