Khairy akur nasihat PM tumpu PRU15

in Politik by

Khairy semasa sidang akhbar selepas Program Selangkah ke Menara Gading dan Townhall Ikon Malaysia bersama Khairy Jamaluddin di UiTM Puncak Alam di sini pada Rabu.

SHAH ALAM – Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akur dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengingatkan UMNO tidak menumpukan soal pemilihan parti itu.

Khairy berkata, kenyataan Ismail Sabri itu tepat pada masanya kerana parti perlu menang terlebih dahulu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, beliau memberitahu, fokus utama beliau juga tertumpu soal PRU15 dan memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh.

“Saya tidak terlalu banyak tumpu kepada isu (pemilihan UMNO) tersebut, (sebaliknya) menjawab satu daripada pelbagai soalan ditanya semasa temu bual yang dijawab saya pada semalam (Selasa),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Selangkah ke Menara Gading dan Townhall Ikon Malaysia bersama Khairy Jamaluddin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini pada Rabu.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata, pada masa ini rakyat ingin melihat muka baharu yang ditampilkan calon BN pada pilihan raya kali ini.

“Rakyat ingin melihat satu peremajaan dalam BN (pada PRU15),” kata beliau.

Pada Rabu, Ismail Sabri mengingatkan UMNO memberi sepenuh perhatian memenangi PRU15 dan tidak sibuk memikirkan soal pemilihan parti.

Perdana Menteri berkata, UMNO mempunyai tempoh enam bulan selepas PRU15 untuk mengadakan pemilihan parti seperti diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Media pada Selasa melaporkan, Khairy menyatakan Ismail Sabri perlu dilantik sebagai Presiden UMNO sekiranya menjadi Perdana Menteri.