Persiapan Sukan SEA 2023 rancak

in Sukan by

Mohd Nasir. Foto Agensi

PERSIAPAN menghadapi Sukan SEA edisi ke-32 di Phnom Penh, Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei tahun depan dijangka lebih rancak susulan pemilihan atlet akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Ketua Kontinjen (CDM) negara ke temasya sukan berkenaan, Datuk Mohd Nasir Ali yang mengakui masa semakin suntuk dengan berbaki kira-kira enam bulan sebelum berlangsung Sukan SEA 2023, berkata pihaknya masih dalam proses menyenarai pendek nama atlet.

“Majlis Sukan Negara (MSN) telah membuat beberapa program (latihan), manakala setiap persatuan sukan kebangsaan (NSA) pun ada perancangan masing-masing malah mereka sekarang sudah di peringkat menyenarai pendek untuk acara berpasukan.

“Bagi acara individu, saya rasa setiap persatuan sudah kenal pasti siapa (atlet yang akan mewakili negara),” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Kejohanan Olahraga SAECA-BJSS di Wisma OCM Kuala Lumpur.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah penyertaan atlet Malaysia bagi temasya di Kemboja sedikit berkurangan berikutan keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan hanya atlet berusia 23 tahun ke bawah boleh mewakili negara dalam Kategori B.

Atlet senior pula perlu melepasi had kelayakan Kategori A, iaitu kedudukan tiga teratas bagi sukan individu dan empat teratas bagi kumpulan atau berpasukan di peringkat Asia Tenggara.

Sementara itu, insentif wang tunai sebanyak RM1,000 daripada Etiqa menanti mana-mana atlet berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada Kejohanan Olahraga SAECA-BJSS yang bakal berlangsung di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil bermula 2 hingga 4 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Innotex Group Zulkipli Ghazali berkata, pihaknya yang juga penganjur kejohanan berkenaan, menerima lebih 1,400 penyertaan setakat ini, termasuk dari Singapura sekali gus melepasi lebih 1,300 penyertaan pada 2019.

“Kejohanan ini akan menggunakan sistem digital sepenuhnya, dengan keputusan juga boleh diperoleh secara dalam talian dengan bantuan foto penamat dan masa elektronik,” katanya.

Lapan kategori dianjurkan pada kali ini, iaitu bawah 12, 14 dan 16 tahun, selain terbuka lelaki dan wanita.

Acara riben biru 100 meter adalah satu-satunya acara daripada 19 jenis acara yang dianjurkan bagi kesemua kategori manakala acara-acara lain hanya dianjurkan bagi kategori tertentu. – Bernama