PRU15: Adam Adli tak malu pendapatan RM3,000 sebulan

in Politik by

Adam Adli (empat,kiri) ditemani ADUN Ayer Keroh Kerk Chee Yee (tiga,kiri) ketika bertemu pengundi di Pasar Pagi Ayer Keroh Height di sini, pada Selasa.

MELAKA – Calon PH Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim mengakui tidak malu apabila pendapatan bulanannya berjumlah RM3,000 tular di media sosial.

Adam yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, dia akan lebih malu jika secara tiba-tiba menjadi kaya tanpa tahu dari mana datangnya harta kekayaan itu.

“Tak adalah, nak malu apa, saya memang orang macam tu. Sebab itu ikut belanja saya dan isteri bekerja. Itu harta perkongsian kehidupan kami,” katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Selasa.

Jelas beliau, tindakan isytihar harta adalah untuk kegunaan parti namun tidak tahu ia telah disiarkan dan tular di media sosial.

Menurutnya, sekurang-kurangnya dengan harta yang dimiliki saat ini dapat beringat kerana seandainya beliau diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), rakyat boleh mengingatkan kepadanya tentang asal usul agar tidak lupa diri.

“Saya anggap bagus juga orang tahu sebelum pilihan raya nilai kekayaan yang saya ada. Orang kata ujian kesusahan itu senang, namun ujian kesenangan itu lebih susah,” katanya.

Ditanya mengenai pecutan terakhir berkempen sebelum menuju hari pengundian, beliau berkata, apa yang dilakukan oleh bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akan diteruskan termasuk memberikan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Selain itu, menurutnya akan meneruskan kerja-kerja kebajikan yang dilaksanakan sebelum ini serta memantau projek pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Shamsul Iskandar.

“Saya beritahu mereka (pengundi) patah tumbuh hilang berganti, YB Shamsul tidak ada saya akan ganti dan akan sambung apa saja bentuk bantuan yang telah dihulurkan sebelum ini.

“Dalam erti kata lain bukan dedak, tapi ertinya apa-apa kerja kebajikan seperti menyantuni, ziarah dan jaga hubungan dengan masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dalam dunia politik ada yang suka dan ada yang tidak suka jadi adalah perkara biasa sekiranya wujud tuduhan wakil rakyat sebelum ini tidak turun padang dan sebagainya.

“Kita tak boleh nak puaskan hati orang itu perkara biasa dalam politik,” ujarnya lagi.

Pada PRU15, Adam Adli akan dicabar tiga calon iaitu calon BN, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; calon PN Mohd Azrudin Md Idris dan calon Pejuang, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh bagi mempertahankan kerusi parlimen berkenaan.

Pada PRU14, Shamsul Iskandar berjaya mempertahankan kawasan parlimen itu dengan majoriti 8,640 undi.