PRU15: Ahmad Said cakna, lantang ketengah isu rakyat

in Politik by

Calon BN ParlimenKemaman, Datuk Seri Ahmad Said (duduk, tengah) bergambar kenangan pada Program Erat Silaturahim bersama Anak Muda BN Kemaman di Bilik Gerakan Anak Muda Kemaman. – Foto Bernama
CHUKAI – Lantang dan berani menyuarakan isu rakyat memberi petanda jelas bahawa Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mampu ‘beraksi’ dengan baik pada persidangan Dewan Rakyat kelak.

Calon BN bagi Parlimen Kemaman itu disifatkan sebagai seorang yang berwibawa di mata rakyat Kemaman khususnya, susulan pernah memegang jawatan sebagai menteri besar dan masing-masing sudah tahu cara beliau ‘bekerja’.

“Kita lihat Ahmad Said ini seorang yang berani. Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) juga beliau lantang bersuara mengetengahkan isu-isu rakyat. Beliau cakna dengan apa yang diperlukan rakyat dari segi kebajikan, pembangunan dan sebagainya,” kata bekas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pengkalan Ranggon, Azman A Ghani, 63, kepada Bernama di sini.

Berpandangan sama, Naib Presiden II Majlis Belia Negeri Terengganu, Takhairi Hamdan, 35, yakin bahawa Ahmad berpeluang menakluki kerusi Parlimen itu kerana telah banyak berjasa kepada rakyat ketika menjadi menteri besar dan mempunyai rekod yang ‘bersih’.

“Saya yakin kalau Ahmad berada di Parlimen, beliau akan menyuarakan apa saja kehendak rakyat dan akan memperjuangkan nasib rakyat. Beliau lantang bersuara dan suara seorang wakil rakyat itu sangat penting, sebab itu bagi saya, calon BN Kemaman ini perlu kita menangkan pada PRU15,” katanya.

Bagi seorang warga emas di Bukit Kuang, Ali Mahmud, 71, gelombang pilihan pengundi bagi kerusi Parlimen itu dilihat akan berubah pada PRU kali ini berikutan parti BN dilihat tidak ‘tergari’ dengan isu-isu berat sehingga ditolak pengundi di negeri ini.

“Tok Mat hero rakyat… beliau boleh menang insya-ALLAH,” katanya.

Pada PRU14, Che Alias Hamid (Pas) memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,163 undi menewaskan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (BN) dan Huzaifah Md Suhaimi (PKR).

Pada PRU15, Parlimen Kemaman yang mempunyai 139,423 pemilih yang layak keluar mengundi Sabtu ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Ahmad dengan penyandangnya Alias, Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang). – Bernama