PRU15: BN Johor guna formula PRN tawan hati pengundi

in Politik by

Hasni (dua dari kiri) bertemu orang ramai dalam Majlis Ramah Mesra dan Dialog bersama Komuniti Renggam di Taman Sri Jaya, Simpang Renggam, Kluang pada Rabu.

KLUANG – Kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu akan menjadi panduan gabungan itu melakukan gerak kerja yang sama ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, pendekatan mendampingi rakyat terutama pengundi pada PRN tersebut masih sesuai dan relevan untuk diguna pakai pada PRU15.

“Walaupun berbeza isu antara PRN dan PRU namun penerangan secara berterusan daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan calon sendiri memudahkan penjelasan sewajarnya kepada rakyat.

“Kita pun tahu bahawa di peringkat PRU isu berbeza jadi kita perlu menggunakan pelbagai kaedah untuk membuat penjelasan.

“Semua kawasan Parlimen di Johor mempunyai ADUN kerajaan dan mereka dipertanggungjawab untuk menjadi pihak yang membuat penjelasan serta mendapatkan makluman tentang apa juga isu yang dianggap penjelasan, itulah kelebihan BN,” katanya.

Hasni yang juga calon BN di Parlimen Simpang Renggam berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra dan Dialog bersama Komuniti Renggam di Taman Sri Jaya dekat sini pada Rabu.

Pada PRN Johor Mac lalu, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Sementara itu, Hasni berkata, pengalamannya sebagai bekas Menteri Besar Johor dan bekas Ahli Parlimen Pontian yang pernah berhadapan pelbagai cabaran dan tuntutan masyarakat diyakini akan dapat menyelesai isu-isu berbangkit di Renggam.

Sebagai contoh di Renggam katanya, terdapat isu perumahan dan perkara pertama yang akan diakukan nanti adalah berbincang dengan pihak Sime Darby atau pemilik ladang di kawasan itu supaya projek kediaman itu dapat dibangunkan segera.

“Saya yakin dengan pengalaman yang ada pelbagai tawaran boleh diberikan kepada pemaju sebagai satu daya penarik untuk mereka melihat bahawa Renggam boleh dijadikan sebagai kawasan yang boleh dibangunkan,” ujar beliau.