PRU15: BN kemuka 19 resolusi pulihkan Gombak

in Politik by

Megat Zulkarnain (tiga dari kanan) sidang akhbar pemakluman Resolusi Pulihkan Gombak di KLMO di sini pada Rabu.

GOMBAK – Penyediaan rumah transit bagi golongan baharu berkahwin dan membina rumah mampu milik di Gombak antara manifesto terkandung dalam 19 Resolusi Pulihkan Gombak oleh calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Beliau berkata, rumah transit itu adalah inisiatif membantu pasangan baharu berkahwin berdikari dan memulakan kehidupan berkeluarga.

Menurutnya, beberapa unit rumah akan disediakan beserta kemudahan asas bagi tujuan tersebut.

“Ada yang telah berkahwin tetapi masih duduk bersama keluarga. Kita sediakan rumah transit ini untuk mereka tinggal antara tiga hingga enam bulan sementara mereka boleh berpindah ke rumah sendiri.

“Rumah ini dibuka semua kaum di bawah pembiayaan kita dengan kelengkapan asas bagi kemudahan pasangan baharu berkahwin,” katanya pada sidang akhbar pemakluman Resolusi Pulihkan Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) di sini, pada Rabu.

Selain itu beliau berkata, pihaknya juga akan berusaha membina sebuah hospital di Gombak bagi menampung kepadatan penduduk di daerah itu.

Jelasnya, kapasiti Hospital Selayang sudah melebih had yang menyebabkan berlakunya isu tidak cukup katil semasa penularan pandemik Covid-19 lalu.

Sebelum ini ada cadangan pembinaan klinik kesihatan dan hospital yang diperjuangkan BN. Pusat kesihatan telah berjaya dibina namun kemudahan itu belum mencukupi dengan kepadatan penduduk di Gombak.

“Sampai masa keperluan Hospital Gombak dibina yang tapaknya telah dikenal pasti, cuma memerlukan peruntukan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Antara perkara terkandung dalam resolusi itu adalah berusaha menempatkan anak jati Gombak yang berkelayakan memasuki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebanyak 30 peratus, menyediakan dana bantuan kepada pelajar institut pengajian tinggi, penyelesaian masalah banjir, penyusuan kampung tradisi dan baik pulih jalan.

Selain itu, beliau akan menumpukan kepada usaha mewujudkan hub sukan dan rekreasi, memperjuangkan hak milik strata, menjadikan masjid sebagai pusat perkhidmatan tersusun, membina pusat komuniti kaum Cina dan India, pusat bimbingan atau kelas tambahan kepada anak Gombak.

Turut difokuskan membina IKS Gombak bagi rangsang ekonomi anak muda, tapak uptown tersusun, pusat inkubator untuk pemula usahawan muda, memulihkan sistem saliran Sungai Gombak dan perparitan, mengangkat martabat kaum wanita menerusi Akademi Kepimpinan Wanita, meningkatkan keselamatan melalui penyediaan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi hotspot dan atasi isu sampah di Gombak.