PRU15: BN parti tunggal bentuk kerajaan Perak

in Politik by

Saarani (dua dari kanan) bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada lawatan kerja ke tapak projek menggantikan Jambatan FT001/562/00 Sungai Kinchap, Kampar.

KAMPAR – BN Perak boleh menjadi parti tunggal yang akan membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mengambil iktibar PRU14 lalu, beliau yakin BN mampu memenangi lebih 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

“Kita yakin BN akan menang lebih 30 kerusi yang boleh membentuk kerajaan negeri atas jenama BN sahaja. Sebab itu kita tidak fikirkan bab (gabungan) itu.

“Saya ada keyakinan bahawa rakyat lebih bijak dengan mengambil kira pengalaman 2018, mereka kali ini memberi undi kepada calon BN sekali gus membentuk kerajaan,” katanya ketika pada lawatan kerja ke tapak projek menggantikan Jambatan FT001/562/00 Sungai Kinchap di sini pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai keyakinan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak memerlukan gabungan lain membentuk kerajaan negeri pada Selasa.

Saarani berkata, sebarang gabungan tidak perlu dibincangkan ketika ini kerana tumpuan lebih kepada proses pilihan raya.

“Semua parti apabila sudah buat keputusan untuk bertanding, bertanding sahajalah. Segala bentuk pakatan, persefahaman dan MoU (memorandum persefahaman) patut dibuat sebelum itu.

“Dulu ketika bersama Muafakat Nasional (MN) ada persefahaman antara UMNO dan Pas tapi akhirnya kita buat keputusan masing-masing,” katanya.

Jelas Saarani, BN mempunyai kelebihan untuk meneruskan agenda membentuk sebuah negeri membangun dan makmur berbanding PN dan Pakatan Harapan (PH).

“Kita hendak tubuh kerajaan mestilah yang boleh membangunkan dan memakmurkan negeri supaya rakyat akan rasa terbela dan kebajikan dijaga.

“Oleh kerana saya yang memulakan kajian Pelan Perak Sejahtera 2030 dan telah dilancarkan jadi, manifesto kita adalah meneruskan pelan yang baik ini. Mereka (PN dan PH) sibuk hal lain,” katanya.

Pada program itu, jambatan yang dibina pada tahun 1965 menghubungkan Ipoh dan Tanjung Malim mengalami kerosakan. Bahagian kiri dan kanan jambatan dilebarkan menggunakan rasuk pra-tegasan.

Projek bernilai RM19 juta dinaik taraf dari standard R3 kepada empat lorong dengan membina sistem lampu jalan, pemasangan perabot jalan dan pengalihan utiliti dijangka siap pada Januari 2025.