PRU15: Calon Warisan fokus bantu selesai masalah bekalan air

in Politik by

Khairul Anuar (kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika kenduri rakyat di Tanjung Dawai di Sungai Petani pada Rabu.

ALOR SETAR – Menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang membelenggu kehidupan penduduk tempatan menjadi antara fokus utama calon Warisan Parlimen Merbok, Khairul Anuar Ahmad.

Khairul Anuar berkata, beliau mendapati masalah air adalah isu utama dihadapi penduduk setempat ketika turun padang menyelami permasalahan mereka.

Beliau berkata, rata-rata penduduk memaklumkan sudah tidak tahan berdepan dengan gangguan bekalan air, sekali gus mengharapkan permasalahan dialami dapat diselesaikan secara tuntas.

“Boleh dikatakan, kebanyakan penduduk yang ditemui memaklumkan tentang kesukaran hidup mereka yang berdepan masalah gangguan bekalan air sekian lama.

“Sedangkan, Kedah merupakan negeri yang kaya dengan bekalan air, jadi saya menawarkan khidmat untuk membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Antara lain, Khairul Anuar berkata, masih banyak keperluan penduduk setempat perlu diberikan perhatian seperti isu pendidikan dan infrastruktur jalan raya.

Beliau yang pernah berkhidmat selama 20 tahun dalam sektor perbankan juga akan memberi tumpuan kepada isu dialami peniaga termasuklah permit dan tempat niaga.

Menurut Khairul Anuar, beliau telah lama mendekati rakyat dan aktif bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) misalnya Warisan 4B, sekali gus berharap dapat memberi nafas baharu di kawasan itu.

Kata beliau, peluang diharapkan diberikan kepada dirinya memandangkan terdapat pelbagai janji ditaburkan parti-parti dahulu namun tidak dikotakan.

Beliau berpandangan Warisan memiliki kelebihan dan tidak memiliki halangan untuk mendekati rakyat di Semenanjung Malaysia termasuklah Kedah.

“Warisan bukan untuk Sabah sahaja, jadi tiada halangan untuk berkempen di mana-mana kawasan memandangkan kita berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata, Warisan menyasarkan penduduk setempat terutamanya anak muda dan ibu tunggal untuk berkempen.