PRU15: Hanya perang psikologi untuk pengaruhi undi – Mahdzir

in Politik by

Mahdzir (kiri) ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama kakitangan dan pelajar Kolej MARA Kuala Nerang pada Rabu.

KUALA NERANG – Dakwaan Pakatan Harapan (PH) hampir memenangi 100 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya merupakan perang psikologi untuk mempengaruhi pengundi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ramalan atau tindakan seperti itu sememangnya bukan perkara baharu terutama menjelang hari pengundian.

Menurutnya, pendekatan itu sering digunakan oleh parti lawan untuk melemahkan psikologi parti yang akan ditentangi dalam pilihan raya.

Semua parti ada perkiraan sendiri tetapi mana yang tak menang itu, katakan sajalah tak menang. Bagi saya tindakan seperti itu merupakan satu peperangan psikologi semata-mata.

“Pihak BN pun, kami ada perkiraan sendiri. InsyaALLAH, BN boleh menubuhkan kerajaan di Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra bersama kakitangan dan pelajar Kolej MARA Kuala Nerang pada Rabu.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam ceramah di Balik Pulau, Pulau Pinang yang mendakwa, gabungan tersebut semakin hampir memenangi 100 kerusi Parlimen ketika kempen PRU15 semakin ke penghujung.

Rafizi juga yakin PH akan mengekalkan kemenangan di semua kerusi kubu kuatnya, iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Malah dilihat bakal menawan Perak selain mengekalkan kerusi dimenangi di Melaka dan Johor.

Mahdzir yang merupakan penyandang Parlimen Padang Terap berkata, seperti parti-parti politik lain, Rafizi mahupun PKR sudah tentu mempunyai kiraan dan culaan sendiri dalam menghadapi saingan PRU15.

“Kita juga mempunyai keyakinan yang tinggi dengan angka yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU15 nanti,” katanya lagi.