PRU15: Jangan bincang pemilihan parti dalam tempoh kempen

in Politik by

Ismail Sabri (dua dari kiri) yang juga calon BNbagi Parlimen P090 Bera beramah mesra bersama penduduk di Bilik Gerakan Kg Durian Tawar pada Rabu. – Foto Bernama
BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu berkata, soal pemilihan UMNO tidak harus dibincangkan dalam tempoh berkempen kerana tumpuan sepenuhnya adalah untuk memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang merupakan Naib Presiden UMNO berkata, apa juga pangkat di dalam parti tidak bermakna sekiranya BN kalah pada pilihan raya, selain UMNO masih mempunyai masa secukupnya untuk mengadakan pemilihan.

“Jangan dalam pilihan raya kita bercakap tentang pemilihan parti dan akhirnya bertelagah sesama kita. Setiap pemimpin (dalam parti) ada pengikut masing-masing yang akhirnya boleh berlaku pertembungan yang merugikan.

“Kita tidak mahu perkara yang boleh mengganggu kerja kita untuk menang pilihan raya. Itu yang penting. Lupakan pemilihan parti, siapa yang hendak menjadi presiden, timbalan presiden, naib, majlis tertinggi dan sebagainya.

“Lepas PRU15, kita ada enam bulan untuk menentukan kepimpinan parti. Waktu itu kita boleh berbincang dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Sembang Santai di Mengkarak di sini pada Rabu.

Ismail Sabri berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dilaporkan media sebagai percaya beliau perlu menjadi Presiden UMNO jika mahu menerajui pentadbiran negara selepas PRU15.

Selain itu, Ismail Sabri turut berkata, beliau sendiri bukan Presiden UMNO sewaktu menjadi Perdana Menteri, dan tidak pernah menggunakan ‘kuasa sebagai Perdana Menteri’ untuk mencampuri urusan parti termasuk dalam isu jawatan.

Beliau juga menafikan terdapat (pakatan) antara beliau dengan mana-mana pemimpin dalam UMNO, apabila ditanya mengenai kenyataan Khairy yang dilaporkan berkata tidak menolak kemungkinan ada pakatan antara Khairy, Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam pemilihan parti akan datang.

“Tidak ada pakatan. Boleh lihat kerana saya turun di mana-mana pun tidak pernah sentuh tentang pemilihan parti.

“Malah semasa dulu, sebelum penangguhan pemilihan parti, fokus kerja saya adalah sebagai Perdana Menteri. Saya tidak gunakan kedudukan, malah apabila dicadangkan untuk penangguhan (pemilihan parti), saya yang bangun bersetuju ia ditangguhkan.

“Jika saya menjaga kepentingan sendiri, saya boleh meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk menolak permohonan UMNO (berkaitan penangguhan pemilihan) supaya saya boleh bertanding melawan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tetapi perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Ismail Sabri berkata, perkara itu adalah selari dengan pendirian beliau yang meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan sendiri, selain tidak mahu berlaku perpecahan dalam parti disebabkan pemilihan sebelum pilihan raya umum diadakan.

Pada Julai lepas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, RoS telah meluluskan permohonan berkaitan pindaan Perlembangaan parti supaya pemilihan dalam parti di semua peringkat diadakan tidak lebih enam bulan selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan. – Bernama