PRU15: MB saran rakyat Terengganu keluar mengundi awal

in Politik by

Ahmad Samsuri mengambil peluang berswafoto dengan mahasiswa yang hadir pada slot Town Hall Mahasiswa Terengganu 2022 di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini pada Rabu.

KUALA TERENGGANU – Pengundi di negeri ini disarankan supaya keluar mengundi di pusat membuang undi masing-masing lebih awal pada Sabtu ini susulan ramalan dijangka berlaku ribut petir dan hujan sebelah petang di Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, orang ramai tidak seharusnya menunggu saat akhir untuk menunaikan kewajipan walaupun tempoh mengundi kali ini dilanjutkan sejam bermula 8 pagi hingga 6 petang.

“Saya seru semua pengundi jika ada ruang, keluarlah mengundi secepat mungkin dan pada awal waktu sekiranya cuaca baik, jangan tunggu ‘last minute’ kerana kita tidak tahu apa yang berlaku di saat akhir.

“Walaupun tempoh mengundi kali ini agak panjang tapi kena ingat, jumlah pengundi adalah berlipat kali ganda berbanding sebelum ini,” katanya selepas menyempurnakan slot Town Hall Mahasiswa Terengganu 2022 di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini pada Rabu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik waktu pagi di beberapa negeri, pada hari pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini dengan tiada hujan pada sebelah pagi di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, MetMalaysia meramalkan ribut petir dan hujan dijangka berlaku di kebanyakan negeri pada sebelah petang, terutamanya di negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan serta negeri di sebelah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Sementara itu, beliau berkata, tidak dapat memberi kenyataan berhubung dakwaan berlaku provokasi melibatkan penyokong Pas dan sebuah parti lain di Kuala Nerus malam Selasa, kerana belum menerima laporan situasi sebenar.

Bagaimanapun, Naib Presiden Pas itu meluahkan harapan supaya situasi kempen yang bersih dan harmoni di Terengganu ketika ini dapat dikekalkan sehingga ke hari pengundian pada Sabtu ini.

“Saya menyeru penyokong semua parti politik supaya meredakan suhu ketegangan. Dalam suasana politik baharu berbanding puluhan tahun dahulu, lupakan politik sengketa yang panas kerana ia tidak menguntungkan sesiapa,” katanya.