PRU15: Rozabil bertekad perkasa teknologi pertanian di Perlis

in Politik by

Rozabil

ARAU – Memperkasakan penggunaan teknologi pertanian seperti dron menjadi agenda utama calon BN Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman untuk membantu meningkatkan pendapatan pesawah sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurut Rozabil, penggunaan dron untuk menyembur baja dan racun telah wujud namun perlu diperluaskan dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil tani di negeri ini khususnya dalam kawasan Arau.

“Saya terangkan kepada pengundi, saya tidak bercadang membawa KLCC atau Pavilion ke Arau. Aktiviti ekonomi utama di Arau yang mana 75 peratus adalah daripada pertanian maka saya mahu memperkasakannya dengan membantu petani terutama dari segi infrastruktur.

“Isu infrastruktur ini telah lama wujud dalam kalangan petani di Arau dan itu langkah segera yang saya akan selesaikan. Kita lihat di Arau ini, teknologi pertanian telah dilaksanakan. Contohnya ramai golongan muda yang membuat perkhidmatan menggunakan dron untuk sembur racun dan baja di sawah-sawah padi.

“Ini adalah permulaan yang baik kepada petani dan tugas saya sekarang adalah memastikan membantu mereka menggunakan teknologi yang lebih baik di bendang-bendang dalam kawasan Arau ini,” katanya ketika sesi siaran langsung ‘Kenali Calon New-Gen BN Bersama KJ’ pada Rabu.

Rozabil berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri dapat mempercepatkan usaha menarik pelabur ke Chuping Valley yang mana akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda.

Bagaimanapun katanya, tawaran yang mahu diberikan kepada golongan muda adalah membuat padanan geran supaya mereka boleh membuka perniagaan sendiri bagi membolehkan mereka terus menetap di negeri ini.

“Jika ada anak muda yang berkemampuan membuka syarikat sendiri di Arau, saya akan cuba buat padanan geran kepada mereka dan bantu mereka sebaik mungkin. Saya tidak mahu mereka keluar daripada Perlis. Saya tidak mahu mereka keluar bekerja ke negeri-negeri lain,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Rozabil mengharapkan kerajaan yang berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak terlepas pandang untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar terutama golongan petani dan nelayan.

“Jika kita bercakap soal sekuriti makanan tetapi saya melihat sepanjang siri kempen terdapat banyak infrastruktur yang diberikan kepada mereka (petani) tidak menepati standard. Kalau kita bercakap tentang sekuriti makanan tetapi infrastruktur yang boleh meningkatkan produktiviti pertanian tidak disediakan.

“Jadi kalau kita lihat dari segi kos import makanan itu sebenarnya akan melebihi daripada bajet yang kerajaan patut peruntukan kepada petani dan nelayan di negeri Perlis,” katanya.