PRU15: Senario politik negara sudah berubah

in Politik by

Roy Anthony (kanan), Farlina dan Kamarul Bahrin dalam Program Sinar Daily GE15 Last Lap bertajuk Hubungan Antarabangsa: Malaysia di Pentas Dunia pada Rabu.

SHAH ALAM – Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Profesor Dr Roy Anthony Rogers menyifatkan negara berada dalam senario politik baharu dengan tiada parti politik yang mampu mendapat majoriti dua per tiga dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, keadaan akan lebih kurang sama berlaku selepas PRU14 yang menyaksikan kerajaan dibentuk melalui kesepakatan beberapa parti.

Suka atau tidak, kita telah mencapai situasi kesepakatan yang akan berlaku selepas pilihan raya. Ini merupakan norma baharu.

“Namun, walaupun ada kerajaan campuran seperti berlaku pada 2018, isu antarabangsa seperti isu Palestin selain beberapa isu antarabangsa, negara terus aktif dalam penyertaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Sinar Daily GE15 Last Lap bertajuk Hubungan Antarabangsa: Malaysia di Pentas Dunia, pada Rabu.

Program itu turut menampilkan Penganalisis kanan, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Farlina Said manakala Kamarul Bahrin Haron bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Farlina mengharapkan negara terus kekal dengan indentiti dan konsisten terutama dalam isu hubungan antarabangsa tidak kira parti mana yang akan memerintah negara nanti.

“Jika mengulas apa yang diperkatakan oleh Dr Roy, seperti kita sebenarnya mempunyai kesukaran untuk memilih pemimpin baharu dalam PRU15.

“Namun, apa yang akan berlaku kepada negara selepas PRU15, Malaysia perlu kekal konsisten berkaitan hubungan antarabangsa,” katanya.